Identiti dakwa banyak papan tanda premis perniagaan tak utama bahasa kebangsaan

Papan tanda iklan yang telah diambil tindakan oleh PBT selepas dibuat aduan oleh Identiti. Foto kecil: Islah Wahyudi
Papan tanda iklan yang telah diambil tindakan oleh PBT selepas dibuat aduan oleh Identiti. Foto kecil: Islah Wahyudi
A
A
A

SEREMBAN - Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti) mendakwa terdapat banyak papan tanda premis perniagaan dan papan iklan tidak mengutamakan bahasa kebangsaan.

Pengerusinya, Islah Wahyudi Zainudin berkata, paling ketara apabila tulisan bahasa lain dilihat lebih besar daripada tulisan Rumi.

"Apa saja bahasa boleh digunakan, tetapi bahasa kebangsaan harus diberi keutamaan dan mesti bersaiz lebih besar daripada bahasa lain berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.

"Namun malangnya hari ini saya tengok banyak pemilik premis perniagaan yang meletakkan papan tanda yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan terutama membabitkan penggunaan bahasa atau tulisan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Lebih mengecewakan ujarnya, keadaan itu dilihat sudah menjadi kebiasaan dan tindakan hanya akan diambil apabila adanya aduan atau sudah tular.

Jelasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya memberi perhatian serius berhubung perkara itu kerana jika dibiarkan dibimbangi akan lebih berleluasa.

"Saya menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung 'pelacuran' bahasa Melayu ini dan ia lebih ketara di kawasan Kampung Baru Cina.

"Ada yang membina pintu gerbang sendiri masuk ke kawasan kampung mereka tanpa menggunakan bahasa kebangsaan yang memperlihatkan tiada langsung identiti negara kita," katanya.

Beliau turut berpendapat penguatkuasaan yang lemah menyebabkan perkara itu terjadi, malah ada sesetengah pemilik yang mendakwa telah mendapat kebenaran daripada PBT untuk menggunakan bahasa lain.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau mendapati turut menjadi kebiasaan untuk menamakan sesuatu tempat menggunakan bahasa Inggeris yang kononnya dianggap lebih komersial.

"Bahasa kebangsaan negara kita adalah bahasa Melayu? Kenapa kita nak malu menggunakannya? Kalau bukan kita nak memartabatkan bahasa kita siapa lagi?

"Saya bukannya sengaja mahu mencari salah, tapi sejak tahun 2018 selepas pertukaran kerajaan, 'pelacuran' bahasa kebangsaan itu agak ketara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!