'Tiada rampasan kuasa' - TNI nafi darurat tentera, hanya bertindak ikut peraturan

Anggota TNI kelihatan menunaikan solat di Medan Merdeka, Jakarta pada isnin. - Foto: AFP
Anggota TNI kelihatan menunaikan solat di Medan Merdeka, Jakarta pada isnin. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Tentera Nasional Indonesia (TNI) menegaskan tiada sebarang rancangan untuk melaksanakan darurat tentera susulan gelombang demonstrasi yang melanda Jakarta dan beberapa wilayah lain sejak minggu lalu.

Wakil Panglima TNI, Jeneral Tandyo Budi Revita berkata, kehadiran anggota tentera di ibu kota adalah sebahagian daripada sokongan keselamatan yang diminta secara rasmi oleh pihak berkuasa sivil dan bukan bertujuan mengambil alih kuasa atau melaksanakan undang-undang darurat.

“Kami tidak berniat mengambil alih melalui darurat tentera. TNI hanya bertindak berdasarkan peraturan yang sah dan atas permintaan institusi yang berwenang,” katanya selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama Komisi I DPR RI di Kompleks Parlimen Senayan pada Isnin.

Beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab utama dalam menangani demonstrasi terletak pada Polis Nasional (Polri), manakala TNI berperanan menyokong koordinasi keselamatan seperti yang diarahkan oleh Presiden Prabowo Subianto.

Kenyataan itu hadir selepas spekulasi bahawa kehadiran ratusan anggota tentera di sekitar Monumen Nasional dan Istana Presiden bertujuan membuka jalan kepada pelaksanaan darurat tentera susulan rusuhan yang meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan mencetuskan kerosakan harta awam.

Presiden sebelum ini telah mengarahkan Panglima TNI Jeneral Agus Subiyanto dan Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo agar mempertingkat koordinasi dalam menangani demonstrasi yang semakin tegang dan meluas. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!