SARA: Penerima tangguh tebus, sistem belum stabil

Sebahagian penerima masih belum berpeluang menebus bantuan SARA akibat gangguan sistem pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Napi, Mohd Khir
Sebahagian penerima masih belum berpeluang menebus bantuan SARA akibat gangguan sistem pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Napi, Mohd Khir
A
A
A

SHAH ALAM – Walaupun program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sudah bermula sejak semalam, sebahagian penerima masih belum berpeluang menebus bantuan itu akibat gangguan sistem dan keadaan premis yang terlalu sibuk.

Mohd Khir A Kadir dari Kuala Lumpur berkata, beliau menangguhkan hasrat menebus kerana suasana di pasar raya terlalu sesak dan menimbulkan kekecohan.

“Semalam sistem down. Hari ini pula sampai bergaduh-gaduh nak bayar. Jadi saya tangguh dulu, tunggu keadaan reda,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Berbeza dengan nasib Mohd Khir, Ahmad Ahad, 82, dari Seksyen 13, Shah Alam, sudah berjaya menggunakan bantuan itu semalam selepas beberapa kali percubaan di kaunter.

“Alhamdulillah, dapat juga guna walaupun sistem perlahan. Saya dapat selesaikan beli barang dapur semalam,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Zarina Othman, 39, dari Shah Alam, turut lega apabila berjaya menebus bantuan berkenaan walaupun terpaksa beratur panjang.

“Sebagai ibu, saya rasa syukur dapat guna bantuan ini untuk barang dapur. Cuma harap sistem dapat diperbaiki supaya lebih lancar,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan, Napi Zahar, 52, dari Seksyen 16, berkata, beliau masih gagal menebus bantuan walaupun sudah mencuba di dua pasar raya berbeza.

“Saya dimaklumkan sistem MyKasih tidak dapat berfungsi dengan baik. Mungkin esok saya akan cuba apabila sistem lebih stabil,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan sistem mengalami transaksi mendadak berikutan sambutan tinggi daripada penerima Penghargaan SARA.

Menurut kenyataan itu, situasi berkenaan menyebabkan sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.

Kementerian itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!