Penerima lega guna bantuan SARA, barang dapur ibarat percuma

PUTRAJAYA – Inisiatif kerajaan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) nyata melegakan ramai penerima apabila mereka dapat membeli barangan keperluan dapur dengan kos yang jauh lebih rendah.
Seorang pengguna di laman sosial @a.natashazmi berkongsi pengalaman menggunakan bantuan itu di sebuah pasar mini apabila jumlah keseluruhan barangan dibeli bernilai RM201.25, namun hanya perlu membayar RM1.25 sahaja secara tunai.
Menurutnya, nilai SARA berjumlah RM100 setiap seorang dapat digunakan oleh beliau dan pasangan menjadikan jumlah keseluruhan bantuan adalah RM200.
“Alhamdulillah dapat guna SARA one off isteri suami harini kat 99 Speedmart je sebab tak ramai orang. Total RM201.25, IC isteri RM100, IC suami RM100, bayar cash RM1.25 saja,” tulisnya.
Tambah pengguna tersebut, pelbagai barangan kering seperti beras, minyak masak, tepung, minuman segera, telur, biskut dan sabun berjaya dibeli hasil bantuan berkenaan.
“Best sangat! Bahan kering bulan ni ibarat free. Terima kasih PMX!” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bantuan RM100 sekali bayar kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira pendapatan iaitu SARA Untuk Semua.
Bantuan ini akan dikreditkan bermula 31 Ogos 2025 dan ia boleh ditebus menggunakan MyKad masing-masing untuk bayaran secara tanpa tunai.
SARA Untuk Semua yang dikreditkan melalui MyKad membolehkan penerima membeli barangan asas di kedai terpilih, antaranya pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit.
Bagaimanapun, terdapat juga rungutan segelintir penerima yang menyifatkan penggunaan bantuan SARA agak terhad kerana tidak boleh digunakan bagi pembelian makanan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran.
Seorang lagi pengguna media sosial @nora.admira meluahkan kekecewaan apabila bapanya yang menghidap darah tinggi tidak dapat membeli makanan berkhasiat menggunakan MyKasih kerana makanan dalam tin dibataskan manakala barangan segar pula tidak termasuk dalam kategori yang layak dibeli.
“Sedihnya makanan berkhasiat tak boleh pakai SARA dan MyKasih. Ayah saya tak boleh makan makanan dalam tin sebab darah tinggi, makanan basah pula 'not eligible'. Lagipun SARA ini bukannya boleh guna untuk bayar bil, tambang atau pinjaman pendidikan,” tulisnya.
SARA dilaksanakan kerajaan bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah melalui pemberian bantuan berbentuk barangan keperluan asas, dengan nilai penggunaan terus dikreditkan ke dalam akaun penerima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

