[VIDEO] Ikan kembung 50 sen, ayam RM8 jadi rebutan di Jualan Termurah Madani
TAIPING - Ikan kembung berharga 50 sen seekor dan ayam segar RM8 seekor menjadi tumpuan ramai sempena Program Jualan Termurah Madani sempena kemerdekaan di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini pada Isnin.
Bukan itu sahaja, Beras Putih Tempatan turut dijual pada harga RM20 bagi sekampit 10 kilogram tanpa had pembelian, selain pelbagai barangan keperluan lain yang ditawarkan dengan diskaun sehingga 30 peratus.
Inisiatif itu dilaksanakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sebagai langkah untuk membantu meringankan beban rakyat.
Jualan murah berkenaan mendapat sambutan hangat apabila lebih 10 tan metrik hasil laut termasuk ayam segar habis dibeli oleh orang ramai.
Orang ramai yang ditemui mengakui bahawa program jualan tersebut banyak membantu mereka dalam mengurangkan kos sara hidup.
Bagi Turgiah Abu Bakar, 60, usahanya menunggu sejak seawal jam 7.20 pagi berbaloi apabila berjaya mendapatkan ayam segar pada harga rendah.
Katanya, sebagai rakyat daripada golongan B40, jualan murah seperti itu sangat membantu meringankan beban keluarga.

“Saya bukan daripada keluarga senang, suami pula tidak sihat, jadi jualan murah seperti ini memang dinanti-nantikan.
“Setiap kali ada jualan murah, memang saya tidak lepaskan peluang sebab dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Seorang lagi pengunjung, K Magashakty, 37, berkata, harga beras RM20 sekampit yang dijual di situ adalah sangat murah dan berbaloi.
Katanya yang juga ibu tunggal, jualan murah seperti itu dapat menjimatkan perbelanjaan harian.
Menurutnya, beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan dengan lebih kerap agar rakyat yang memerlukan terus mendapat manfaat.
Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, pendekatan tersebut merupakan penyelesaian sebenar dalam membantu rakyat dengan memotong rantaian bekalan sekali gus mengurangkan kos pengangkutan yang sering menyumbang kepada kenaikan harga.
“Saya cuba sedaya upaya melaksanakannya di pusat khidmat saya dengan jumlah yang besar supaya rakyat dapat membeli dengan harga berpatutan.
“Ini bukan subsidi, tetapi penyelesaian sebenar yang boleh saya lakukan setiap minggu di Bukit Gantang,” katanya.
Jelas beliau, inisiatif itu juga merupakan salah satu cara untuk meraikan kemerdekaan dengan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

