Kemasukan air laut sebabkan ikan mati di Tasik Taman Gelora

KUANTAN- Fenomena air pasang besar yang menyebabkan kemasukan air laut ke dalam tasik melalui empangan kecil (weir) berhampiran Tasik Taman Gelora, di sini dikenal pasti sebagai punca kematian ikan di tasik itu.
Datuk Bandaraya Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli berkata, siasatan awal mendapati kemasukan air laut telah meningkatkan tahap kemasinan air, sekali gus mengubah keseimbangan ekosistem semula jadi tasik yang bersifat payau.
Jelasnya, fenomena ini merupakan kejadian alam semula jadi yang tidak dapat dijangka.
“Perubahan mendadak ini dipercayai menjadi faktor utama kepada kematian beberapa spesies ikan liar yang hidup dan membiak secara semula jadi di tasik tersebut.
“Antara spesies yang terkesan termasuk ikan susu, tilapia, kapas, siakap merah dan beberapa spesies lain yang terdapat di tasik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar mengenai kematian ikan di Tasik Taman Gelora yang menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Mengulas lanjut, Zaliza berkata, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah melaksanakan kerja-kerja pengutipan dan pembersihan ikan mati di sekitar tasik.
Menurutnya, langkah itu dibuat bagi memastikan kawasan rekreasi kekal bersih dan selamat.
Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menjalankan ujian kualiti air manakala Jabatan Perikanan mengambil sampel ikan untuk analisis forensik (post-mortem) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian secara saintifik.
“Kita akan terus memantau situasi ini dengan kerjasama rapat agensi berkaitan dan komited memastikan keseimbangan ekosistem.
“Malah, kebersihan Tasik Taman Gelora sentiasa terpelihara untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

