Aksi barisan hadapan kawal kekecohan warga asing curi tumpuan

SEREMBAN - Kemantapan barisan hadapan negara dalam menangani insiden kekecohan membabitkan warga asing ditonjolkan menerusi persembahan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Ahad.
Fragmen persembahan khas itu diilhamkan oleh Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Zamri Othman dengan sentuhan Pengarah Artistik dan Konsep Persembahan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan (JKKNS), Mohd Zuhairi Ibrahim.
Menerusi sketsa tersebut, ditunjukkan bagaimana penglibatan pelbagai agensi penting seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Seremban serta pasukan perubatan dalam menangani kekecohan akibat tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
Mereka berganding bahu dalam operasi bersepadu berteraskan pendekatan 'Whole of Government and Whole of Society' atau lebih dikenali sebagai WoGoS, iaitu sebuah usaha kolektif melibatkan semua agensi kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat demi menjamin keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
Selain itu, turut ditampilkan gabungan persembahan tarian oleh JKKNS, Kelab Bimbingan Seni Cemerlang, Kumpulan Satelit JKKN, Pertubuhan Bukan Kerajaan Kebudayaan, Soka Gakkai, Shreevar Uniqarts Conservatory dan Nogori Arts School.
Kehadiran artis jemputan seperti Datuk Tamimi Siregar, Didi Astillah dan Cat Farish turut menyerikan persembahan.
Sementara itu, kira-kira 30,000 pengunjung hadir meraikan sambutan Hari Kebangsaan tersebut.
Turut berangkat mencemar duli, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Hadir sama, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Sembilan, pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tuanku Muhriz dan bacaan doa oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badaruddin.
Lafaz ikrar Rukun Negara turut dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, seiring dengan lima das tembakan meriam melambangkan lima prinsip Rukun Negara.
Lebih 80 kontinjen merangkumi 5,000 peserta daripada pelbagai sektor menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institusi pengajian tinggi serta syarikat swasta.
Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Senawang, Negeri Sembilan, yang diketuai oleh Mejar Muhammad Hazim Abdul Ghalib, Pegawai Panji-Panji, Leftenan Muda Adam Bachtiar Ibrahim serta Sarjan Mejar Rejimen Pegawai Waran Satu (PW1), Muhd Azuwan Aziz.
KKU diiringi oleh Pancaragam Gabungan pasukan 24 RAMD dan 2 KAD dengan kekuatan seramai 32 anggota Lain-Lain Pangkat, diketuai oleh PW II, Azuan Zakaria dari pasukan 24 RAMD.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

