LKIM galak nelayan ceburi pemprosesan isi ikan

Muhammad Faiz (dua dari kanan) merasmikan perarakan bot nelayan pada program Gelombang Samudera Madani Kelantan Sempena Hari Kebangsaan 2025 di Pantai Sri Tujoh, Tumpat pada Ahad.
Muhammad Faiz (dua dari kanan) merasmikan perarakan bot nelayan pada program Gelombang Samudera Madani Kelantan Sempena Hari Kebangsaan 2025 di Pantai Sri Tujoh, Tumpat pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - [DI KEMASKINI] Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menggalakkan golongan nelayan menceburi bidang pemprosesan isi ikan sebagai usaha meningkatkan pendapatan, selain memastikan bekalan bahan mentah industri makanan berasaskan ikan mencukupi.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu penting kerana ketika ini hanya terdapat sebuah kilang pemprosesan isi ikan di Besut, sedangkan permintaan terhadap produk seperti keropok semakin meningkat.

“LKIM melihat masalah ini sebagai peluang kepada nelayan untuk terlibat dalam bidang hiliran. Dengan adanya lebih banyak kilang, bukan sahaja bekalan isi ikan dapat dipertingkatkan, malah persatuan nelayan juga dapat menjana pendapatan baharu,” katanya semasa merasmikan Gelombang Samudera Madani Kelantan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Pantai Sri Tujoh, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, LKIM bersedia menawarkan latihan kemahiran serta peralatan untuk membantu persatuan nelayan mengusahakan pemprosesan isi ikan.

Ujarnya, kilang kecil pemprosesan isi ikan tidak memerlukan modal besar, sebaliknya memerlukan keinginan dan komitmen tinggi.

“Ini bukan isu kekurangan ikan, tetapi kilang yang memproses isi ikan masih terlalu sedikit. Jika kilang ditambah, isi ikan dapat dikeluarkan dalam jumlah lebih besar dan menampung permintaan industri,” jelasnya.

Tambah beliau, usaha itu bakal membuka ruang baharu kepada komuniti nelayan untuk terlibat dalam industri asas tani, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan kekurangan bekalan ikan tamban sejak dua tahun lalu menghimpit pengusaha keropok keping tradisional di Terengganu, hingga memaksa sebahagian mereka 'berehat' tanpa pengeluaran selama berminggu-minggu akibat ketiadaan bahan mentah.

Menurut pengusaha keropok keping dari Kampung Mengabang Telung, Salim Yusof, 52, situasi semakin meruncing tahun ini apabila bekalan ikan yang biasanya stabil menjelang hujung tahun kini semakin sukar diperoleh, walaupun permintaan terhadap produk tersebut meningkat sempena musim cuti sekolah dan tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

“Hampir sebulan kami tidak dapat menghasilkan keropok sebab tiada langsung bekalan ikan seperti tamban, terutamanya tamban sisik dan tamban beluru yang semakin sukar diperoleh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!