Kapasiti pemprosesan sistem SARA ditingkatkan 60 peratus - MyKasih

Jumlah keseluruhan transaksi Penghargaan SARA dan SARA dalam tempoh dua hari ini mencecah 1.45 juta, melibatkan perbelanjaan rakyat sebanyak RM91 juta. Foto Bernama
Jumlah keseluruhan transaksi Penghargaan SARA dan SARA dalam tempoh dua hari ini mencecah 1.45 juta, melibatkan perbelanjaan rakyat sebanyak RM91 juta. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Kapasiti pemprosesan sistem terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bakal ditingkatkan sebanyak 60 peratus bagi memastikan ia berjalan lebih lancar hari ini susulan lonjakan jumlah transaksi pada hari pertama pelaksanaan.

Yayasan MyKasih menerusi hantaran di Facebook berkata, pasukan teknikal akan terus membuat pemantauan secara aktif dan mengambil tindakan segera untuk menambah baik keupayaan sistem secara berterusan.

Menurutnya, setakat jam 5 petang Isnin, hampir 600,000 transaksi berjaya diselesaikan iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding rekod pada waktu sama ketika hari pertama.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan transaksi Penghargaan SARA dan SARA dalam tempoh dua hari ini mencecah 1.45 juta, melibatkan perbelanjaan rakyat sebanyak RM91 juta di seluruh negara.

“Bagaimanapun, penurunan kadar pemprosesan transaksi masih dilaporkan di beberapa lokasi khususnya di Selangor, Perak, Sabah dan Melaka.

“Beberapa pasar raya besar di kawasan bandar yang mencatatkan bilangan penerima SARA tertinggi mengalami kesesakan, terutamanya ketika waktu puncak antara jam 1 hingga 2.30 petang. Keadaan ini mungkin berpunca daripada jumlah pembeli yang tinggi sempena cuti hujung minggu panjang,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 850,000 rakyat berbelanja lebih RM50 juta pada Ahad iaitu hari pertama pelaksanaan Penghargaan SARA setakat 9.30 malam.

Penghargaan SARA RM100 merupakan bantuan tunai diberikan kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang dikreditkan ke dalam MyKad.

Kredit RM100 sekali bayar itu kekal sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

MyKasih juga memaklumkan, selain 22 juta penerima Penghargaan SARA yang menerima RM100, sebanyak 5.4 juta penerima turut menerima kredit bulanan SARA.

Justeru, bagi menguruskan situasi tidak diingini, MyKasih berkata, beberapa petugas telah ditempatkan di pasar raya besar terpilih untuk membantu menyelesaikan isu di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga.

“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang pembelian pada waktu bukan puncak, seperti pagi pada hari bekerja bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!