Malaysia belum ada kepakaran hasilkan vaksin Covid-19

Gambar hiasan - Foto AFP
Gambar hiasan - Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM – Sehingga ke hari ini, Malaysia masih belum mempunyai kepakaran untuk menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Suhazeli Abdullah berkata, jika negara mempunyai kemajuan teknologi dan kewangan yang mantap, Malaysia mampu untuk membuat vaksin sendiri.

“Jika kita mempunyai prasarana yang cukup dan kewangan yang mengizinkan, Malaysia mampu untuk membuat vaksin sendiri.

“Persoalan sama ada cepat atau lambat ia bergantung kepada keadaan. Sebagaimana yang diketahui proses pembangunan dan pembuatan vaksin yang selamat digunakan manusia biasanya mengambil masa,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, terdapat penghasilan vaksin yang mengambil masa berpuluh tahun untuk siap dan terdapat juga hanya beberapa bulan.

"Ini kerana ia bergantung kepada jenis virus atau bakteria vaksin itu sendiri," katanya.

Suhazeli berkata, proses pembuatan vaksin perlu melalui tiga peringkat utama iaitu proses pembiakan virus untuk dijadikan bahan ujian.

"Di sini bagi sesetengah virus, mengambil masa yang agak lama kerana tapak pembiakan yang betul-betul sesuai digunakan amat perlu. Jika tidak virus itu susah untuk dibiakkan.

Artikel Berkaitan:

“Peringkat kedua pula adalah proses uji kaji makmal sama ada terhadap tisu hidup mahupun haiwan. Selagi ia tidak selamat ke atas tisu hidup mahupun haiwan, proses ketiga tidak boleh dibuat,” katanya.

Katanya, proses ketiga ialah proses uji kaji ke atas manusia bagi memastikan ia boleh digunakan kepada orang awam atau tidak dan proses itu turut memerlukan masa dan jutaan ringgit sebelum ia terhasil sepenuhnya.

Dalam pada itu beliau berkata, terdapat tiga perkara utama yang harus dititikberatkan sebelum sesuatu vaksin itu digunakan kepada masyarakat umum.

“Vaksin berkenaan perlu selamat, berkesan dan berkualiti. Perkara ini perlu disahihkan melalui kajian demi kajian sehingga ia betul-betul meyakinkan,” katanya.