CARSOME rai Hari Kebangsaan Ke-68, julung kali sertai perarakan Merdeka

SHAH ALAM – Syarikat automotif Malaysia, CARSOME, buat julung kalinya mengambil bahagian dalam perarakan Merdeka di Dataran Putrajaya pada Ahad sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
CARSOME dalam satu kenyataan berkata, konvoi penuh semangat itu menampilkan 62 warga CARSOME berpakaian seragam dengan warna ikonik syarikat berkenaan iaitu hitam dan kuning, lengkap dengan belang Harimau Malaya.
Menurutnya, sambutan tahun ini lebih bermakna kerana ia turut menandakan ulang tahun ke-10 CARSOME, meraikan sedekad perjalanan yang dibina bersama rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia.
"Tumpuan konvoi adalah dua trak pikap CARSOME yang membawa pengasas bersama syarikat, Eric Cheng dan Teoh Jiun Ee, selain wira bola sepak negara serta legenda sukan permotoran.

"Mereka ialah dua bekas pemain bola sepak kebangsaan iaitu Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan.
"Selain itu, yang turut serta ialah rakyat Malaysia dan Asia pertama memenangi Kejohanan FIA Production Car World Rally Championship, Karamjit Singh; Juara Rali Malaysia sebanyak lima kali, YS Khong dan atlet sukan permotoran negara, Leona Chin.

"CARSOME diketuai Ketua Pegawai Sumber Manusianya, Mohd Afifi Zahari yang membawa bendera syarikat dalam perarakan tersebut," ujarnya pada Ahad.
Tambah kenyataan itu, kontinjen ini mencerminkan kepelbagaian peranan di CARSOME, merangkumi rakan sekerja dari ibu pejabat, pasukan operasi, pemeriksa kenderaan, perunding pelanggan serta pengedar kereta dari cawangan di seluruh negara.
"Turut serta ialah pelajar-pelajar daripada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) CARSOME Academy yang menonjolkan peranan sama penting mereka dalam membentuk masa depan industri automotif," jelasnya.
Sementara itu, Eric berkata, Merdeka melambangkan erti kebebasan, ketabahan, perpaduan dan semangat kebangsaan.
Beliau menegaskan, nilai-nilai tersebut terus membentuk perjalanan Malaysia serta memberi inspirasi kepada rakyatnya.
Katanya, sebagai anak Malaysia, CARSOME berakar kukuh dalam semangat dan seiring dengan aspirasi negara.
“Penyertaan dalam perarakan Merdeka bersama wira sukan dan rakan sekerja mengingatkan kami bahawa kemajuan dapat dicapai melalui hasil usaha bersama.
"Menerusi perpaduan dan matlamat bersama, kami telah melakar perjalanan ini dan dengan keyakinan yang sama, kami akan terus mengutamakan pelanggan, memastikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi fokus utama dalam perniagaan tempatan kami," ulasnya.
CARSOME turut meraikan sambutan ini dengan menyerahkan baucar bernilai RM500,000 untuk perkhidmatan kenderaan, pembaharuan cukai jalan dan penggantian bateri kepada penganjur untuk diagihkan kepada para pengunjung.
Jelas Eric, inisiatif ini selaras dengan komitmen syarikat menjaga pelanggan serta menjadikan pemilikan kereta lebih mudah diakses.
"Perarakan Merdeka juga merupakan simbol kebanggaan negara, sekali gus memberi peluang kepada CARSOME untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan yang telah membentuk perjalanan syarikat ini daripada sebuah syarikat pemula (start-up) tempatan kepada platform e-dagang automotif terbesar di Asia Tenggara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

