Megoplex dalam kenangan

IPOH - Bangunan Megoplex yang terletak di laluan utama Medan Gopeng di sini suatu ketika dahulu dianggap pusat gaya hidup moden.
Menempatkan pelbagai kedai pakaian, premis perniagaan, medan selera dan pasar raya Billion, Megoplex menjadi tumpuan warga Ipoh untuk berhibur dan membeli-belah.
Kedudukannya yang berhampiran terminal bas lama menjadikan Megoplex lokasi pilihan bukan sahaja penduduk tempatan, malah pelancong dari luar bandar raya ini.
Mula beroperasi pada tahun 1998, mercu tanda penempatan perniagaan majoriti bumiputera itu kini sunyi sepi selepas ditutup sepenuhnya pada 2016.
Kegemilangannya hanya tinggal sejarah apabila satu demi satu premis gulung tikar berikutan kehadiran pusat beli-belah baharu yang lebih besar serta lengkap dengan jenama antarabangsa.

Tinjauan Sinar Ahad mendapati, pintu utama bangunan telah dikunci rapi dengan papan tanda lama yang masih terlekat namun kelihatan lusuh dimamah masa.
Rabbani Rashid, 32, berkata, Megoplex pernah menjadi lokasi yang sangat dinanti-nantikan ketika zaman kanak-kanaknya sekitar usia enam hingga tujuh tahun.
“Bila mak ajak ke Megoplex memang seronok sebab ada banyak jualan mainan dan pakaian. Baju-baju yang dijual pun cantik. Kali terakhir saya pergi pun sekitar tahun 2011 semasa ada jualan murah. Sampai sekarang memori itu masih segar dalam ingatan,” katanya.
Bagi Fadzlina Abu Bakar, 41, Megoplex turut dikenang sebagai pusat hiburan utama kerana sering menjadi lokasi persembahan artis popular tanah air.
“Saya masih ingat pergi menonton persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza sekitar tahun 2000, ketika saya di Tingkatan Empat. Masa itu orang terlalu ramai sampai penuh hingga ke luar. New Boyz dan ramai lagi artis terkenal pernah buat persembahan di sini,” ujarnya.
Harun Ismail, 62, pula berkata, Megoplex bukan sahaja terkenal kerana pusat beli-belahnya, malah medan selera di situ menjadi tarikan utama.
“Dulu saya dan keluarga hampir setiap hari singgah makan di medan selera. Mi kari Che Mat antara yang paling popular. Ada lebih 30 kedai beroperasi, suasana memang meriah.
“Sabtu dan Ahad pula saya selalu bawa anak-anak yang masih kecil sarapan di sini. Setiap kali musim perayaan, Megoplex memang jadi tumpuan. Memang kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.
Semasa tinjauan juga menemukan dua individu dari Cameron Highlands yang singgah ke Megoplex selepas aplikasi peta digital menunjukkan lokasi pusat membaiki telefon masih aktif di bangunan berkenaan.
“Kami ikut arah peta, sangka kedai masih buka. Rupanya kompleks ini dah lama ditutup. Tak sangka dalam carian Google Maps pun masih ada kedai tersenarai,” kata salah seorang daripada mereka.
Difahamkan, menerusi perancangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), bangunan berkenaan ditutup sementara sehingga perancangan penambah baik dan pengubahsuaian dapat dikenal pasti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

