Rumah ahli DPR 'bermulut lancang' diserbu orang ramai

JAKARTA – Rumah ahli Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR RI) daripada Parti NasDem, Ahmad Sahroni di Kebon Bawang, Tanjung Priok, Jakarta Utara, diserbu orang ramai pada Sabtu.
Kejadian itu dirakam secara siaran langsung oleh seorang pengguna TikTok sekitar jam 3.45 petang Waktu Indonesia Barat (WIB).
Video menunjukkan orang ramai memenuhi lorong sempit di kawasan perumahan padat di sekeliling rumah lelaki yang lahir pada 8 Ogos 1977 itu.
Tiada anggota keselamatan kelihatan di lokasi kejadian.
Pemilik akaun TikTok, M45 IMAM menyatakan bahawa orang ramai berjaya merobohkan pagar Sahroni dan memasuki rumah tersebut.
Rakaman itu jelas menunjukkan individu keluar sambil membawa pelbagai barangan.
“Mereka 'menjarah' rumah Sahroni,” kata pemilik akaun itu.
Suara sorakan orang ramai juga kedengaran jelas dalam video. “Hancurkan!” jerit seorang lelaki.
Beberapa pengguna media sosial yang menonton siaran langsung itu menasihati agar rumah Sahroni tidak dibakar.
“Jangan dibakar. Fikirkan jiran-jiran,” tulis seorang warganet.
“Cukup dijarah sahaja, jangan dibakar,” tambah yang lain.
Dalam rakaman berasingan yang tular di platform X, sekumpulan lelaki muda dilihat melempar batu ke arah rumah Sahroni.
Lemparan bertubi-tubi itu berjaya memecahkan tingkap rumah malah seorang lelaki kelihatan memanjat rumah tersebut.
Kekacauan itu menyebabkan tingkap rumah pecah dan kereta yang diparkir di garaj juga menjadi sasaran serangan orang ramai.
Selepas pagar dirobohkan, mereka melakukan pencurian. Barangan seperti peti sejuk, televisyen, malah peti besi turut dikeluarkan dari rumah.
Beberapa hari kebelakangan ini, nama Ahmad Sahroni menjadi tumpuan umum.
Beliau menerima kritikan selepas menyifatkan individu yang menyeru pembubaran Dewan Perwakilan Rakyat sebagai “orang tolol sedunia.”
Kontroversi itu berlarutan sehingga pada 29 Ogos 2025 Parti NasDem memutuskan untuk menarik Sahroni daripada jawatan Timbalan Ketua Komisi III DPR RI dan menempatkannya sebagai ahli Komisi I.
Di tengah-tengah situasi tegang itu, turut tular foto dan naratif mendakwa Sahroni berada di Singapura semasa demonstrasi berlangsung.
Namun, maklumat tersebut belum pernah disahkan secara rasmi. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

