Malaysia #QuranHour 2025: Lebih 2,600 kampit beras diagih kepada golongan memerlukan

Lebih 2,600 kampit beras sumbangan orang ramai diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk kumpulan asnaf sekitar Lembah Klang.Gambar kecil: Rohani (kiri) dan Marfoah.
Lebih 2,600 kampit beras sumbangan orang ramai diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk kumpulan asnaf sekitar Lembah Klang.Gambar kecil: Rohani (kiri) dan Marfoah.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lebih 2,600 kampit beras sumbangan orang ramai diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk kumpulan asnaf sekitar Lembah Klang sempena program Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara pada Jumaat.

Penyerahan simbolik sumbangan beras itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Sumbangan beras berkenaan akan diagihkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan ia sampai kepada penerima yang layak.

Tenaga Pengajar Rumah Ngaji Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Taman Keramat AU2, Rohani Ghazali, 70, berkata, pihaknya menerima 100 kampit beras untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Rohani yang juga penerima sumbangan tersebut berkata, bantuan berkenaan akan diagihkan di Rumah Ngaji Taman Keramat dan empat lagi cawangan lain.

“Sumbangan ini banyak membantu meringankan beban penduduk memandangkan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan asnaf.

“Saya harap program seumpama ini dapat diteruskan bagi membantu masyarakat berpendapatan rendah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di khemah penyerahan sumbangan beras di Masjid Negara pada Sabtu.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima bantuan, Marfoah Suhaimi, 65, berkata, ini merupakan kali pertama dia menerima sumbangan beras sempena penganjuran Malaysia #QuranHour sepanjang mengikuti program tersebut.

Artikel Berkaitan:

Penerima dilihat sedang beratur di khemah penyerahan sumbangan beras Masjid Negara pada Sabtu.
Penerima dilihat sedang beratur di khemah penyerahan sumbangan beras Masjid Negara pada Sabtu.

“Saya dimaklumkan mengenai pengagihan bantuan ini ketika sedang berniaga di reruai sekitar Masjid Negara. Jadi saya turun dan mendaftar nama di khemah yang disediakan.

“Alhamdulillah, pemberian beras ini rezeki untuk saya dan keluarga. Terima kasih kepada pihak yang menyalurkan sumbangan kali ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, sumbangan sebanyak 2,639 kampit beras itu diharap dapat memberikan kesan positif kepada penerimanya.

“Walaupun jumlahnya mungkin tidak besar, namun ia memberi harapan besar dan tanda kasih sayang.

“Kita berharap agar dapat menjadi warga merdeka. Maknanya selepas mendengar bacaan Surah al-Saff, Surah Ali ‘Imran dan Surah al-Balad, kita timbul kesedaran untuk membantu orang sekeliling.

“Semangat itu yang mahu kita cetuskan dan diharapkan ia menjadi satu budaya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!