Larangan tiga hari tanpa beg plastik pelihara alam sekitar

Kerajaan Selangor cadang larangan penggunaan beg plastik tiga hari seminggu mulai tahun depan, disambut positif masyarakat.
Kerajaan Selangor cadang larangan penggunaan beg plastik tiga hari seminggu mulai tahun depan, disambut positif masyarakat.
A
A
A

SUBANG JAYA - Cadangan kerajaan Selangor untuk melaksanakan larangan penggunaan beg plastik selama tiga hari seminggu bermula Jumaat hingga Ahad di semua premis mulai tahun hadapan disambut baik oleh masyarakat, yang menganggap ia langkah tepat ke arah kelestarian alam sekitar.

Penduduk tempatan, Norashikin Omar, 48, percaya langkah menaikkan kadar caj beg plastik wajar bagi menggalakkan lebih ramai pengguna membawa beg sendiri ketika membeli-belah.

Malah beliau mencadangkan kerajaan supaya membuat larangan penuh sepanjang masa, bukan tiga hari sahaja demi memastikan matlamat negeri sifar beg plastik berjalan lancar.

"Kita mahu elak keadaan alam sekitar lebih teruk sebab bahan plastik susah terurai. Saya sokong kempen ini, sejak dulu bawa beg plastik sendiri apabila ke kedai," katanya.

Bagi pekerja swasta, Zaini Razak, 53, kenaikan caj beg plastik daripada kadar semasa 20 sen akan mendidik masyarakat untuk tidak membazir.

“Cadangan bagus sebab kenaikan caj akan membuatkan pengguna rasa mungkin membebankan. Untuk berjimat mereka bawa sendiri. Larangan tiga hari amat wajar," katanya.

Pada 23 Ogos, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, Jabatan Perundangan Selangor dalam fasa akhir semakan semula undang-undang berkaitan larangan penggunaan beg plastik, selain merangka pewartaan garis panduan baharu.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan undang-undang tanpa ada punca kuasa jelas boleh menyebabkan larangan sedemikian tidak dipatuhi orang ramai

"Jabatan perundangan dijangka selesai rangka undang-undang larangan pada akhir tahun ini," katanya selepas merasmikan Kempen Bebas Plastik Siri 3 di Sabak Bernam.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk menaikkan kadar caj beg plastik bagi menggalakkan lebih ramai pengguna membawa beg guna semula ketika membeli-belah.

“Kadar caj baharu masih dalam kajian," katanya sambil menambah perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!