Doktor guna raket badminton, beg plastik rawat mangsa kemalangan

BEIJING - Seorang doktor di wilayah Shandong, timur China bertindak kreatif ketika membantu wanita warga emas yang patah kaki akibat kemalangan pada 5 April lepas.
Doktor dikenali sebagai Liu Shuanglei itu menggunakan raket badminton dan beg plastik ketika memberi rawatan awal bagi melindungi kaki mangsa.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan Liu sedang dalam perjalanan pulang bersama isterinya untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya.
Ketika melalui sebatang jalan yang dipenuhi ranting, pasangan itu memperlahankan kenderaan sebelum Liu terlihat seorang wanita warga emas menangis kesakitan di tepi jalan.
Menyedari wanita itu terlibat dalam kemalangan, Liu segera meminta isterinya berhenti bagi memeriksa keadaannya.
Liu yang bertugas di jabatan pengurusan kesakitan sebuah hospital berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia lingkungan 70-an itu mengalami patah tulang di bahagian bawah kaki kiri, namun tiada kecederaan lain dikesan.
Beliau segera menghubungi rakan setugas dan kemudiannya disarankan supaya membalut dan memasang anduh pada kaki mangsa.
Bagaimanapun, ranting di kawasan itu terlalu rapuh untuk dijadikan penyokong, lalu Liu menggunakan raket badminton dari dalam keretanya sebagai ganti.
Beliau turut menggunakan beg plastik sebagai pengganti balutan sementara menunggu bantuan tiba.
Wanita berkenaan kemudian dihantar ke hospital tempat Liu bekerja untuk rawatan lanjut.
Keluarga mangsa mengucapkan terima kasih dan memuji tindakan prihatin doktor itu yang tidak takut membantu ibunya.
"Kebanyakan orang takut disalah anggap dan enggan membantu mangsa kemalangan, namun doktor itu mempunyai jiwa sangat mulia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

