Solidariti berterusan buat Zara Qairina

Kira-kira 1,000 orang hadir dalam himpunan Solidariti Justic For Zara di Dataran Bandar Baru Kampar di sini malam tadi.
Kira-kira 1,000 orang hadir dalam himpunan Solidariti Justic For Zara di Dataran Bandar Baru Kampar di sini malam tadi.
A
A
A

KAMPAR - Biarpun proses keadilan buat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, sedang berlangsung, namun orang ramai berhimpun di Dataran Bandar Baru Kampar di sini pada Jumaat terus menyatakan sokongan terhadap gadis dari Sipitang, Sabah itu.

Himpunan Solidariti Justice For Zara anjuran Pertubuhan Cakna Masyarakat Kampar bersama Kelab Belia Malim Nawar dan Yayasan Aspirasi Wanita itu mendapat sokongan masyarakat berbilang kaum dengan pelbagai pengisian ditampilkan.

Pengerusi Pertubuhan Cakna Masyarakat Kampar, Abdul Hadi Azman berkata, himpunan tersebut dicetuskan sebagai menyatakan sokongan padu terhadap pembelaan ke atas Zara Qairina.

"Program ini menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Melayu, Cina, India dan Sikh dalam satu solidariti yang utuh demi menyatakan tuntutan keadilan bagi Zara Qairina yang menjadi simbol harapan dan perjuangan menentang ketidakadilan.

Sebahagian daripada ribuan yang hadir memberi sokongan terhadap himpunan yang dianjurkan oleh NGO buat adik Zara Qairina di Dataran Bandar Baru Kampar di sini malam Jumaat.
Sebahagian daripada ribuan yang hadir memberi sokongan terhadap himpunan yang dianjurkan oleh NGO buat adik Zara Qairina di Dataran Bandar Baru Kampar di sini malam Jumaat.

"Kami pihak penganjur ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada lebih 1,000 orang yang hadir ke perhimpunan aman ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Abdul Hadi berkata, program dimulai dengan solat Isyak dan solat hajat berjemaah diikuti sesi bacaan sajak, ucapan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pempengaruh.

Katanya, lebih menarik lagi, seorang aktivis masyarakat, Emily Hew menyampaikan sajak dalam bahasa Mandarin selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin turut mendeklamasikan sajak di sebuah lori yang dijadikan pentas.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, meskipun penuh emosi, suasana himpunan berlangsung dengan tertib dan beradab mencerminan kematangan masyarakat dalam menyatakan pendirian.

"Kami tegaskan bahawa himpunan ini bersifat aman dan tanpa provokasi. Penganjurannya juga tidak memihak kepada mana-mana parti atau kepentingan politik.

Abdul Hadi menyampaikan ucapan pada himpunan Justice For Zara di Dataran Bandar Baru Kampar di sini malam tadi.
Abdul Hadi menyampaikan ucapan pada himpunan Justice For Zara di Dataran Bandar Baru Kampar di sini malam tadi.

"Kita menuntut siasatan telus, adil dan segera oleh pihak berkuasa selain mahu pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud unsur kecuaian atau penganiayaan," katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru seluruh rakyat agar terus bersolidariti, menyebarkan kesedaran dan menuntut kebenaran secara sah dan bermaruah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!