Covid-19: Apa nasib rakyat tempatan bekerja di Singapura

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan perlu jelas dengan Perintah Kawalan Pergerakan terutama membabitkan ratusan ribu rakyat tempatan yang keluar masuk ke Singapura untuk bekerja pada setiap hari.

Pengerusi Amanah Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, arahan itu tidak memberikan panduan yang jelas dan dikhuatiri nasib serta kebajikan mereka akan terabai termasuk dibuang kerja.

"Bagimana kedudukan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura? Adakah mereka juga termasuk dalam Perkara 2 Perintah Kawalan Pergerakan yang membawa maksud tidak boleh keluar masuk bekerja ke Singapura?

"Larangan tidak boleh keluar masuk negara pasti menjejaskan pendapatan ratusan ribu rakyat Malaysia berulang alik setiap hari ke Singapura mencari nafkah.

Kebajikan mereka dapat dipelihara jika kerajaan menyediakan insentif bantuan secukupnya bagi menyara keperluan asas serta jaminan mereka tidak diberhentikan kerja kerana tidak hadir ke tempat kerja dalam tempoh larangan.

"Kita menantikan penerangan lebih jelas daripada pihak kerajaan berkenaan arahan sekatan pergerakan. Ia bukan sahaja penting untuk panduan rakyat umum tetapi juga kepada pihak berkuasa dan agensi pelaksana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau bimbang atas desakan hidup rakyat tempatan akan melanggar peraturan tersebut sekali gus akan menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa.

"Kekaburan skop kuasa akan mengakibatkan over zealous act seperti penangkapan tidak wajar dan mungkin juga kekasaran tidak perlu. Pemerhatian kepada isu ini penting bagi mengurangkan konfrontasi antara rakyat dan pihak berkuasa pada waktu kritikal dan tekanan memuncak," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sewajarnya kata Aminolhuda, kerajaan menyediakan bantuan atau keperluan untuk golongan fakir miskin atau rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berpendapat, langkah tersebut akan memberi kesan terhadap pendapatan mereka khususnya yang bekerja sendiri dan dibayar gaji harian.

Katanya, justeru kerajaan harus memastikan pendapatan golongan B40 dan M40 tidak terkesan dengan situasi terkini itu.

Pada masa sama beliau menyarankan bank atau institusi kewangan dapat memberi kelonggaran kepada peminjam membayar balik pinjaman dalam tempoh yang kritikal ini.