Teknologi, pendidikan masyarakat benteng cegah rasuah

SHAH ALAM – Langkah pencegahan yang menyeluruh termasuk penggunaan teknologi, pendidikan masyarakat serta perlindungan pemberi maklumat perlu diperkasakan bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, rasuah tidak boleh ditangani hanya dengan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya memerlukan perubahan sikap dan sistem.
Menurutnya, antara inisiatif yang boleh dilaksanakan ialah menghasilkan bahan pendidikan berbentuk filem pendek atau animasi interaktif yang dekat dengan masyarakat, khususnya golongan muda bagi menyedarkan mereka tentang keburukan rasuah.
“Penggunaan teknologi seperti sistem e-perolehan, rekod digital serta kecerdasan buatan (AI) juga boleh meningkatkan ketelusan dan mengurangkan campur tangan manusia dalam urusan pentadbiran.
“Bagaimanapun, teknologi hanya berkesan jika disertai kesedaran bahawa ALLAH Maha Melihat. Integriti berasaskan iman dan amanah mesti diperkukuhkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Zairudin turut menekankan kepentingan perlindungan kepada pemberi maklumat bagi memastikan individu berani tampil menentang rasuah tanpa bimbang ancaman atau tindakan balas.
Dalam pada itu, beliau berkata, rasuah berlaku berpunca daripada lemahnya iman, sifat tamak serta hilangnya rasa amanah dalam kalangan pemimpin dan pekerja.
“Apabila seseorang dikuasai hawa nafsu serta gagal menjaga amanah, mereka mudah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri,” jelasnya.
Ujarnya, kelemahan dalam sistem urus tadbir khususnya aspek perolehan dan kawalan dalaman turut membuka ruang kepada manipulasi serta penyalahgunaan kuasa.
“Apabila tiada ketelusan, pengawasan atau audit yang kukuh, penyelewengan sukar dikesan. Lebih membimbangkan apabila tiada kesedaran bahawa ALLAH sentiasa memerhati,” katanya.
Mengulas budaya kerja, beliau berkata, persekitaran organisasi yang tidak menitikberatkan etika dan taqwa boleh menormalisasikan rasuah, apatah lagi apabila ditambah dengan tekanan beban kerja atau masalah kewangan.
Dalam masa sama, Zairudin menegaskan kepimpinan tertinggi, sama ada dalam kerajaan mahupun swasta memainkan peranan besar untuk menjadi teladan, menguatkuasakan kawalan serta memastikan dasar integriti dipraktikkan secara adil dan tanpa pilih kasih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
