Individu perlu tanam sikap tanggungjawab hapus rasuah

SHAH ALAM - Setiap individu perlu menanam sikap tanggungjawab dalam diri untuk menghapus rasuah bagi menghentikan jenayah itu terus berlaku.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, ia kerana setiap kegiatan rasuah sama ada memberi atau menerima bermula dengan keputusan individu, jika semua orang menolak jenayah tersebut rantaiannya akan terputus.
Menurutnya, apabila individu bertindak jujur dan berintegriti, ia membentuk budaya masyarakat yang bersih.
"Namun sebaliknya, jika masyarakat berdiam diri atau membiarkan rasuah berlaku, ia akan menjadi normal dalam kehidupan dan sukar dihapuskan. Ingatlah bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab besar menghapuskan rasuah tidak kira dalam apa jabatan mahupun lapangan kerja.
"Sekiranya ada ruang kegiatan rasuah akan terjadi haruslah menjauhkan diri daripada keadaan tersebut dan jangan terlibat sama sekali sebaiknya cepat-cepat membuat aduan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, seorang pengurus kawasan Felcra Berhad di Kuala Lipis, Kuantan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah.
Suspek disyaki menerima suapan antara RM1,000 hingga RM3,000 dari tahun 2023 sehingga 2024 yang berusia 43 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Raub pada Isnin.
Suapan diterima dipercayai sebagai dorongan membantu mendapatkan kerja-kerja dan memudahkan urusan kerja untuk sebuah syarikat di Felcra Berhad cawangan tersebut.
Tambah Hamdan Daniel, pihak pentadbir atau majikan wajar memikul tanggungjawab terus bersikap rasional dan meningkatkan integriti yang tinggi demi menolak rasuah dalam pentadbiran mereka.
"Jenayah rasuah berlaku demi melindungi sesuatu pihak, ini amatlah menyedihkan kerana demi mendapatkan keuntungan peribadi maka sanggup menggadaikan maruah dan amanah yang telah diberikan.
"Seharusnya pegawai memikirkan natijah yang akan berlaku kepada diri dan keluarga serta masyarakat umumnya. Semoga kita sama-sama memutuskan rantaian rasuah ini habis-habisan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!