Jun Hao perlu tingkat ketahanan mental

Jun Hao hampir mengejutkan Kenta Nishimoto sebelum tewas bermaruh kepada pemain Jepun itu di pusingan kedua Kejohanan Dunia di Paris.
Jun Hao hampir mengejutkan Kenta Nishimoto sebelum tewas bermaruh kepada pemain Jepun itu di pusingan kedua Kejohanan Dunia di Paris.
A
A
A

PENGARAH Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengakui Leong Jun Hao memiliki semangat juang tinggi, namun menegaskan ia masih belum cukup untuk bersaing dengan pemain elit dunia.

Pemain yang berstatus ke-25 dunia itu berada di ambang kemenangan, namun dikecewakan Kenta Nishimoto dari Jepun dalam aksi pusingan kedua Kejohanan Dunia di Perancis pada Rabu.

Jun Hao bermula garang dengan kemenangan 21-17 pada set pertama di Adidas Arena, Paris namun gagal mengekalkan momentum apabila tunduk 13-21 di set kedua.

Pertarungan sengit berlarutan sehingga set penentuan, tetapi pengalaman nyata menjadi pemisah apabila Nishimoto menamatkan aksi dengan kemenangan 25-23.

Jonassen mengakui keputusan itu mengecewakan kerana anak buahnya sudah mengerah segalanya di gelanggang, namun percaya ada ruang besar untuk diperbaiki.

“Sangat sedikit perbezaan antara kedua-dua pemain, tetapi beberapa keputusan yang salah memisahkan mereka.

“Saya dan barisan kejurulatihan melihat Jun Hao hampir membukakan potensi sebenarnya, namun dia perlu bekerja lebih keras.

“Dia perlu meningkatkan ketahanan mental dan fizikal, serta bijak membaca corak permainan lawan terutama ketika mata kritikal di hujung perlawanan.

“Selain itu, konsistensi dalam memberi tekanan kepada lawan juga perlu dipertingkatkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jurulatih dari Denmark itu turut menegaskan mereka bukan sekadar berpuas hati dengan persembahan baik, sebaliknya turun beraksi dengan misi untuk menang.

“Ia kekalahan yang sukar untuk diterima. Kami sudah memberikan yang terbaik tetapi sasaran kami tetap untuk melangkah lebih jauh,” ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!