Gaji minimum belum cukup di bandar

SHAH ALAM - Kadar gaji minimum RM1,700 belum cukup untuk membantu pekerja, terutama individu yang tinggal di kawasan bandar, untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
Felo Kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Dr Lee Hwok Aun berkata, walaupun kenaikan itu mewakili peningkatan tahunan kompaun sebanyak 4.3 peratus sejak 2022, ia masih belum selari dengan realiti kewangan yang ditanggung rakyat bandar.
“Kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 pada tahun 2022 kepada RM1,700 pada 2025 adalah signifikan, ini bersamaan dengan peningkatan tahunan kompaun sebanyak 4.3 peratus, berbanding kadar inflasi tahunan 2.3 peratus dalam tempoh yang sama.
“Namun, indeks harga pengguna tidak sepenuhnya mencerminkan kos sara hidup sebenar. Saya rasa ramai yang masih sukar untuk menampung kehidupan asas dengan RM1,700 sebulan, terutamanya di Lembah Klang dan kawasan bandar.
“Ketiadaan perbezaan kadar gaji minimum yang sepatutnya lebih tinggi di kawasan bandar menyebabkan pekerja yang menanggung kos lebih tinggi tidak mendapat cukup perlindungan,” katanya.
Sementara itu, Hwok Aun menjelaskan, berdasarkan pelaksanaan gaji minimum sebelum ini menunjukkan kemungkinan berlaku peningkatan kecil dan sementara dalam kadar pengangguran.
“Kita perlu ingat bahawa gaji minimum hanya terpakai kepada pekerjaan dengan gaji paling rendah, yang lazimnya merangkumi kerja asas, rutin dan berintensif buruh seperti kerja pembersihan atau pemasangan di kilang.
“Amalan pengambilan dan pengurusan tenaga kerja mungkin berubah dari masa ke masa, apabila majikan mencari jalan untuk mekanisasi atau meningkatkan produktiviti pekerja.
“Namun ia ada hadnya. Matlamat utama gaji minimum tetap untuk menjaga kebajikan dan maruah pekerja,” ujarnya.
Mengulas mengenai struktur gaji minimum di Malaysia pula, beliau berpendapat, negara telah beberapa kali menukar pendekatan tersebut, termasuk perbezaan kadar antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak; tahun 2013 hingga 2019, kadar seragam seluruh negara; 2019 hingga 2020, struktur berbeza antara bandar utama dan kawasan lain; 2020 hingga 2022, ia kembali kepada kadar rata.
“Saya menyokong struktur berperingkat yang lebih selaras dengan kapasiti ekonomi dan kos sara hidup setempat.
“Sebenarnya, pelbagai negara telah melaksanakan variasi wilayah dalam kadar gaji minimum yang lebih sesuai untuk pekerja kerana mengambil kira perbezaan kos sara hidup,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
