Saman individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan: Peguam

Anggota polis membuat pemeriksaan kenderaan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac ini di Jalan Loke Yew hari ini. -Foto Bernama
Anggota polis membuat pemeriksaan kenderaan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac ini di Jalan Loke Yew hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam usaha mencegah penularan koronavirus (Covid-19), majoriti pengamal undang-undang berpendapat Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus mengeluarkan saman terhadap orang awam yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini.

Peguam jenayah, Datuk N Sivananthan menegaskan untuk mengatasi masalah itu, saman boleh dikeluarkan terhadap individu untuk hadir di mahkamah dan kesalahan itu boleh dijamin.

Bagaimanapun jika individu itu gagal hadir di mahkamah, waran tangkap boleh dikeluarkan. Jika tertuduh hadir, mahkamah boleh mengeluarkan jaminan, tetapi mungkin mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh meninggalkan rumah mereka tanpa kebenaran polis.

“Satu cara untuk memastikan penguatkuasaan segera adalah untuk mengarahkan individu itu hadir di mahkamah pada keesokan harinya supaya mereka tidak lagi jadi pengganggu,” katanya.

Sivananthan berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai sikap sesetengah orang awam yang masih mengingkari dan tidak mengambil serius mengenai Perintah Kawalan Pergerakan itu.

Menurut laporan media, orang awam yang ditahan dalam sekatan jalan raya rata-rata memberikan alasan yang tidak munasabah seperti menyatakan hanya keluar bersiar-siar, ada juga yang berkata mahu membeli makanan, menghantar barangan dan pelbagai alasan lain.

Berkongsi sentimen yang sama, Peguam RSN Rayer berkata, dalam keadaan sekarang memandangkan situasi adalah kritikal, pihak polis malah boleh menahan mereka dan dakwa mereka terhadap kesalahan menderhaka.

“Kerana mereka tidak mematuhi perintah Raja yang juga mengarahkan semua rakyat untuk mengikuti nasihat kerajaan dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya duduk di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang boleh saya katakan, jika orang ramai masih tidak mengambil serius perkara ini, kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan ini dilanjutkan adalah sangat tinggi,” kata Ahli Parlimen Jelutong itu.

Rayer juga mencadangkan supaya kerajaan mengerahkan trup tentera untuk mengawal situasi itu jika diperlukan.

"Tetapi pembabitan pihak berkuasa sahaja tidak mencukupi. Apa yang lebih penting ialah kita semua mengawal diri sendiri dan mematuhi apa-apa arahan atau perintah yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan jika polis tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh orang awam, mereka boleh ditangkap serta-merta.

“Sebenarnya mereka boleh ditangkap tanpa waran tangkap dengan serta-merta sekiranya pihak polis tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh seseorang individu itu,” kata peguam veteran tersebut.

Perintah itu dilaksanakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, iaitu individu yang melanggar peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Perintah itu yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula semalam antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang menyediakan perkhidmatan penting serta penutupan rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar basah, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual keperluan harian.

Kerajaan juga menyeru orang ramai supaya duduk di rumah dan mengelak dari keluar semasa pelaksanaan perintah itu untuk membendung penyebaran Covid-19 di negara ini.

Sebanyak 110 kes positif baharu disahkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 900 kes. - Bernama