Dua penuntut maut jatuh kondominium: Polis siasat elemen buli

KUALA LUMPUR - Siasatan terperinci masih dijalankan polis untuk mengenal pasti motif termasuk elemen buli berhubung kejadian dua penuntut institut pengajian tinggi swasta yang jatuh dari kediaman mereka di sebuah kondominium di Taman Melati di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa melibatkan seorang wanita berusia 22 tahun dan lelaki berusia 21 tahun.
Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta mati mengejut (SDR).
"Kita akan ambil semua faktor dengan mengumpul bukti sekiranya ada berlaku kesalahan buli hingga menyebabkan berlaku kejadian terbabit (jatuh bangunan).
"Bagaimanapun, kedua-dua kes tidak mempunyai hubung kait walaupun jatuh dari bangunan sama dan kedua-dua mangsa juga dari kolej sama. Mereka tidak kenal antara satu sama lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Beliau berkata, setakat ini polis berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan.
Jelasnya, terdapat beberapa lagi keterangan individu yang akan diambil untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada 20 Ogos lalu, insiden pertama yang berlaku pada jam 6.48 pagi melibatkan seorang pelajar wanita dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 dan ditemukan di tingkat lapan kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia.
Insiden kedua pula pada jam 9.35 malam, seorang lelaki dilaporkan terjatuh dari tingkat 35 dan ditemukan di bahagian belakang kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Siasatan awal polis mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi dan tiada unsur jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
