Amorim kecam pemain United selepas dimalukan Grimsby

Gol kedua Grimsby yang dijaringkan Tyrell Warren (tengah) berpunca daripada kesilapan penjaga gol United, Andre Onana. Foto: Agensi
Gol kedua Grimsby yang dijaringkan Tyrell Warren (tengah) berpunca daripada kesilapan penjaga gol United, Andre Onana. Foto: Agensi
A
A
A

MANCHESTER United sekali lagi menjadi bahan jenaka dalam saingan domestik apabila tersingkir daripada Piala Liga selepas tewas kepada pasukan divisyen empat, Grimsby Town menerusi penentuan penalti 12-11 di Blundell Park, awal pagi Khamis.

Skuad kendalian Ruben Amorim ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, sebelum bangkit menyamakan kedudukan di hujung permainan untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Namun, kegagalan dua pemain yang dibawa masuk musim ini, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo dalam sepakan penentuan menyaksikan United menanggung kekalahan paling memalukan dalam sejarah Piala Liga sejak ia dipertandingkan bermula 1960.

Penyingkiran United bermakna potensi meraih trofi musim ini semakin mengecil dan kini The Red Devils hanya bergantung kepada Piala FA memandangkan peluang menjuara Liga Perdana Inggeris (EPL) juga tipis.

Mengulas kekalahan tersebut, Amorim jelas kecewa dengan persembahan hambar pemainnya yang menurutnya 'tidak wujud' sepanjang babak pertama.

“Cara kami bermula, sikap dalam perlawanan... semuanya silap. Dalam kelab sebesar ini, setiap kesilapan jadi masalah besar.

“Kami sepatutnya tampil jauh lebih baik. Saya hanya mahu minta maaf kepada penyokong,” ujar Amorim.

Pada masa sama, Amorim menegaskan bahawa itu bukan isu individu, sebaliknya mencerminkan kelemahan keseluruhan pasukan.

Penjaga gol, Andre Onana yang dipersalahkan atas dua gol Grimsby, turut menjadi tumpuan namun Amorim mempertahankannya.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan tentang Andre. Ia lebih daripada itu. Ia tentang semua orang. Hakikatnya, pasukan terbaik menang malam ini, walaupun lawan hanya dari divisyen empat,” katanya.

Amorim turut menyifatkan keputusan itu sebagai 'had' kepada kesabaran dan tahap pasukannya, selain memberi bayangan bahawa perubahan besar diperlukan.

“Anda tidak boleh ubah segalanya dalam satu musim panas. Tetapi anda juga tidak boleh tampil dengan aksi sebegini.

“Saya rasa inilah hadnya. Sesuatu mesti berubah,” tegas Amorim.

United kini perlu segera bangkit menjelang aksi EPL hujung minggu ini sebelum saingan berhenti seketika untuk jadual antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!