Jaringan lewat Havertz pacu Arsenal ke final Piala Liga

Havertz (kiri) melepasi kawalan penjaga gol Chelsea, Robet Sanchez sebelum menolak masuk gol kemenangan Arsenal pada minit ke-97. Agensi
Havertz (kiri) melepasi kawalan penjaga gol Chelsea, Robet Sanchez sebelum menolak masuk gol kemenangan Arsenal pada minit ke-97. Agensi
A
A
A

ARSENAL melangkah ke final Piala Liga Inggeris buat kali pertama sejak 2020 selepas menewaskan Chelsea secara agregat dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Emirates, awal pagi Rabu.

Gol lewat Kai Havertz pada minit ke-97 ke atas bekas kelabnya memastikan kemenangan Arsenal dalam perlawanan yang berlangsung dengan tempo sederhana, namun mencukupi untuk mengesahkan kemaraan The Gunners selepas mereka membawa kelebihan 3-2 dari perlawanan pertama.

Keputusan itu membuka peluang kepada skuad kendalian Mikel Arteta untuk memburu trofi pertama mereka dalam tempoh lima tahun, selepas kali terakhir menjulang kejuaraan Piala FA pada 2020.

Arsenal ketika ini turut berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) serta layak ke pusingan keempat Piala FA, sekali gus membuka peluang untuk meraih empat trofi musim ini.

Dalam perlawanan tersebut, Chelsea memilih pendekatan berhati-hati apabila pengendali mereka, Liam Rosenior menurunkan formasi lima bek yang berjaya menyekat gerakan Arsenal pada babak pertama.

Namun, pendekatan itu turut menyebabkan ancaman serangan The Blues hampir tidak wujud, walaupun mereka memasukkan Cole Palmer dan Estevao pada separuh masa kedua dalam usaha meningkatkan intensiti permainan.

Arsenal kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Manchester City dan Newcastle United, dengan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Wembley pada Ahad, 22 Mac depan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • ARSENAL melangkah ke final Piala Liga Inggeris buat kali pertama sejak 2020 selepas menewaskan Chelsea secara agregat
  • Gol lewat Kai Havertz memastikan kemenangan Arsenal
  • Membuka peluang kepada skuad kendalian Mikel Arteta untuk memburu trofi pertama dalam tempoh lima tahun
  • Arsenal berada di puncak Liga Perdana Inggeris, mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara serta layak ke pusingan keempat Piala FA
  • Arsenal menanti pemenang antara Manchester City dan Newcastle United untuk perlawanan akhir di Stadium Wembley

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!