Saman fitnah selesai, SUA MB Kedah mohon maaf kepada pemilik KDA FC

Mohd Daud (dua kiri) dan Muhamad (dua kanan) selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis.
Mohd Daud (dua kiri) dan Muhamad (dua kanan) selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Kes saman fitnah yang difailkan pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, terhadap Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim selesai secara baik selepas defendan memohon maaf di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Dalam prosiding permohonan maaf, Muhamad menarik balik semua kenyataan yang diterbitkannya di akaun media sosial pada 29 Jun tahun lalu berkaitan Mohd Daud dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

Beliau turut menyatakan aku janji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan bersifat sama terhadap Mohd Daud pada masa akan datang, sama ada secara langsung atau tidak langsung

Mohd Daud kemudian menerima permohonan maaf tersebut sebelum kedua-duanya bersalaman.

Persetujuan tersebut direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman yang turut dihadiri peguam Abdul Hadi Ahmad mewakili Muhamad.

Sementara itu, peguam Ashraf Sohaimi yang mewakili Mohd Daud berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kes berkenaan tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

“Kes ini diselesaikan secara baik hari ini selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan terma yang dipersetujui,” katanya ketika ditemui selepas prosiding selesai di Mahkamah Sesyen di sini.

Sebelum ini, pada 20 Januari lalu, media melaporkan kes saman fitnah yang difailkan Mohd Daud terhadap Muhamad akan diteruskan dengan perbicaraan selepas proses mediasi gagal.

Ia berikutan tiada persetujuan dicapai menerusi proses mediasi yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

Saman yang difailkan pada Oktober tahun lalu mendakwa Muhamad telah membuat kenyataan di laman Facebook pada 29 Jun tahun lalu yang mengandungi fakta tidak tepat berkaitan pemilikan kelab bola sepak KDA FC.

Dalam saman tersebut, Mohd Daud menamakan Muhamad sebagai defendan tunggal serta menuntut pampasan termasuk ganti rugi am, teruk dan teladan berhubung kenyataan berkenaan.

Ringkasan AI

  • Kes saman fitnah pemilik majoriti KDA FC, Mohd Daud Bakar terhadap SUA Kedah, Muhamad Mat Yakim, selesai selepas permohonan maaf
  • Muhamad menarik balik semua kenyataan terhadap Mohd Daud yang diterbitkan di media sosial
  • Muhamad berjanji tidak akan mengulangi kenyataan bersifat sama pada masa akan datang
  • Kesamatan diselesaikan tanpa perbicaraan penuh di Mahkamah Sesyen Alor Setar
  • Sebelum ini, kes akan diteruskan dengan perbicaraan selepas mediasi gagal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!