Alam sudah beri peringatan, kita perlu sentiasa bersedia

SEJAK kebelakangan ini, Malaysia tidak lagi boleh berasa terlalu selesa dengan kedudukan geografinya.
Ribut kencang, hujan lebat luar jangka serta gegaran gempa bumi yang berpunca dari negara jiran semakin kerap dirasai.
Ahad lalu, gegaran gempa lemah berskala 4.1 dikesan di Segamat, Johor sekitar jam 6.13 pagi yang turut dirasai di Melaka, Negeri Sembilan serta selatan Pahang.
Seterusnya, gempa susulan berukuran 2.8 skala Richter pula dilaporkan di Yong Peng, Kluang sekitar jam 9 pagi.
Menurut MetMalaysia, kedua-dua kejadian berlaku di Zon Sesar Mersing, namun kategori gempa itu tidak membabitkan risiko tsunami.
Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat yang menyerang beberapa kawasan telah menyebabkan kerosakan kecil dan menjejaskan rutin harian menandakan bahawa cuaca ekstrem bukan lagi perkara asing.
Fenomena semacam ini mengingatkan kita bahawa alam sedang memberi peringatan.
Walaupun Malaysia berada ‘di luar lingkaran api’, kedudukan itu bukan penjamin keselamatan mutlak.
Satu gegaran sederhana sahaja mampu mencetuskan panik, sementara ribut singkat berupaya meranapkan rumah, sekolah dan infrastruktur awam.
Kesiapsiagaan rakyat menjadi faktor penentu. Adakah kita tahu apa yang perlu dilakukan saat gempa berlaku?
Adakah masyarakat peka terhadap setiap amaran MetMalaysia atau sekadar menganggapnya sebagai berita rutin?
Persoalan-persoalan ini wajar direnung kerana bencana tidak mengenal waktu dan lokasi.
Kerajaan pula mesti memperkukuh sistem amaran awal, memperluas latihan bencana serta memastikan bangunan awam dibina mengikut piawaian tahan gegaran dan ribut.
Pengalaman banjir besar sebelum ini membuktikan kelemahan kita bukan pada kemampuan bertindak tetapi pada kurangnya persediaan.
Dalam konteks ini, pendidikan awam harus diutamakan.
Murid sekolah, pekerja pejabat dan komuniti setempat perlu diberi pendedahan dan dilatih dengan pengetahuan asas keselamatan agar mereka dapat bertindak dengan cekap dan berkesan semasa menghadapi situasi kecemasan.
Tanpa kesedaran menyeluruh, segala peralatan canggih dan amaran awal tidak akan bermakna.
Alam sedang menguji daya tahan kita. Jika kita masih memilih untuk leka, maka kita hanya menunggu masa untuk menanggung kerugian lebih parah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
