APPGM-DRM saran tingkat dana penyelidikan, pengumpulan data hadapi risiko gempa bumi

SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Pengurusan Risiko Bencana (APPGM-DRM) mengalu-alukan tindakan segera pihak kerajaan khususnya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan rasmi, hebahan umum dan mengadakan penilaian awal termasuk edaran soal selidik kepada mereka yang merasai gegaran akibat gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 yang berlaku di Johor pada 24 Ogos lalu.
Menurutnya, ia merupakan langkah penting bagi mengumpul data lapangan sebagai rujukan masa hadapan, malah Menteri Besar Johor turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah risiko bencana.
"Berdasarkan kemajuan sains, teknologi terkini dan pemodelan saintifik, bencana gempa bumi masih belum boleh diramal secara tepat, tarikh dan masa kejadian yang bakal berlaku masa hadapan.
"Walaupun kedudukan Malaysia berada di luar Lingkaran Api Pasifik, tiada jaminan khusus negara kita bebas dari bencana gempa bumi, dan kita seharusnya tidak mengambil mudah terhadap usaha mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko gempa bumi terutamanya di kawasan perbandaran yang rentan atau berusia, lokaliti infrastruktur kritikal (empangan besar), kawasan perindustrian berat dan pelancongan utama negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dikesan pada 6.13 pagi di Segamat, disusuli gegaran kedua magnitud 2.8 di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer dari Barat Laut Kluang.
Tambah APPGM-DRM, pelbagai inisiatif kerajaan kini sedang dilaksanakan bagi menghadapi kemungkinan bencana tersebut.
Ujarnya, antara langkah berkenaan termasuk pemetaan bahaya seismik oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), pemantauan aktiviti gempa bumi menerusi lebih 80 sensor seismik METMalaysia, serta penggubalan kod reka bentuk bangunan tahan gempa oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM).
"Selain itu, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) juga mengambil kira faktor risiko dalam perancangan guna tanah dan kawalan pembangunan. Kapasiti pasukan penyelamat, NGO, pengurus bencana serta responder turut diperkukuh melalui penyelarasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Pengukuhan tadbir urus risiko melalui Arahan NADMA nombor satu juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan negara lebih tersusun dan berkesan," katanya.
Sehubungan itu, APPGM-DRM menggariskan tiga saranan utama iaitu memperluaskan program kesiapsiagaan komuniti terhadap bencana geologi terutama di kawasan berisiko yang mempunyai frekuensi rendah tetapi magnitud tinggi, dengan penglibatan aktif pejabat khidmat ahli Parlimen, pemegang taruh serta pihak berkepentingan.
Ujarnya, selain itu, meningkatkan pendanaan dan peruntukan untuk penyelidikan serta kajian bersasar termasuk pengumpulan data teknikal mengenai ancaman risiko gempa bumi dan bahaya baharu yang muncul, khususnya dalam memahami proses geologi dan seismik serta menilai impaknya.
Dalam pada itu, menurutnya, memperkukuh kerjasama serantau dan rentas benua bagi mengangkat amalan terbaik dunia serta mengadaptasi penyelesaian kos efektif demi menyokong agenda pengurangan risiko bencana di peringkat lokal di Malaysia.
"Sejajar komitmen global dan aspirasi nasional terhadap pengurangan risiko bencana, Malaysia sewajarnya meningkatkan pelaburan DRR, bukan hanya bencana banjir tetapi juga bencana geologi (khususnya gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, aliran puing dan mendapan tanah).
"Pertambahan jumlah peruntukan atau budget, pertukaran teknologi atau pengalaman menguruskan bencana besar termasuk gempa bumi, dan pemakaian model atau pendekatan baru terhadap bahaya baru muncul dan risiko sistemik di Malaysia, antara keperluan mendesak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

