Kedah akan wujudkan tabung amanah hasil REE untuk rakyat - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bercadang menubuhkan tabung amanah hasil daripada kekayaan baharu iaitu unsur nadir bumi (REE) bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat negeri ini untuk jangka masa panjang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun hasil REE belum lagi dikeluarkan, sebahagian daripada kekayaan itu akan diperuntukkan untuk tabungan khas bagi membantu generasi akan datang.

Menurutnya, diharapkan REE dapat diteroka secepat mungkin bagi membolehkan hasrat tersebut direalisasikan.

“Walaupun bila akan dikeluarkan REE belum tahu, kita harap segera. REE akan jadi sumber kekayaan baharu negeri. Dapat berapa pun tidak mengapa, cuma jangan habiskan ketika kita berkuasa.

“Negeri ini seperti diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu, kaya dan hebat, maka kita juga perlu tinggalkan legasi sama untuk anak cucu kita,” katanya ketika berucap merasmikan Program Bakti Siswa Kedah di sini pada Rabu.

Program berkenaan berlangsung serentak di 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penglibatan 1,500 mahasiswa.

Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan kerajaan negeri turut menghidupkan semula Tabung Tunku Mahmud (TTM) yang bertujuan membantu pelajar Kedah menampung pembiayaan awal melanjutkan pengajian ke universiti.

“Setakat ini, sudah hampir RM9 juta kita belanjakan daripada tabung berkenaan hasil sumbangan orang ramai untuk membantu mereka melanjutkan pengajian,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM60,000 kepada 20 persatuan mahasiswa anak Kedah di universiti dalam dan luar negara, dengan setiap persatuan menerima RM3,000 sebagai tanda penghargaan.

Artikel Berkaitan:

“Pembangunan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui binaan fizikal seperti bangunan pencakar langit, tetapi paling utama adalah pembangunan minda dan jati diri rakyat.

“Apabila pemikiran kita berubah, keperluan fizikal juga akan berubah. Bangunan tinggi mungkin nampak hebat, tetapi kos penyelenggaraan tinggi dan akhirnya terbengkalai. Sebab itu lebih penting ialah pembangunan manusia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sanusi menjelaskan, Program Bakti Siswa Kedah diperluaskan kepada 36 DUN tahun ini berbanding 13 DUN sebelum ini.

“Kita berusaha memperluaskan susulan impak program tersebut dengan mengadakan secara serentak di 36 DUN di negeri ini.

“Melihat pengisian program ini, saya yakin ia sangat memberi makna kepada mahasiswa serta masyarakat di kampung,” katanya.

Antara pengisian program termasuk Program Semarak Merdeka, Aktiviti Experience Kedah, Kajian Negeri Sejahtera, serta aktiviti perekonomian dan pendidikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!