Mak nyah maut dibunuh, digilis lori

Polis mengangkat mayat mangsa yang disyaki dibunuh dengan dilanggar sebuah lori bonded awal pagi Rabu. Foto pembaca
Polis mengangkat mayat mangsa yang disyaki dibunuh dengan dilanggar sebuah lori bonded awal pagi Rabu. Foto pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki berperwatakan wanita ditemui maut dipercayai dibunuh di lorong berhampiran Jalan Horley, Kampung Jawa di sini awal pagi Rabu.

Mangsa ditemui seorang pekerja hotel sekitar jam 6 pagi dalam keadaan terbaring berlumuran darah bersama rambut palsu berwarna perang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan serius di kepala dan bahagian belakang badan.

Menurutnya, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku jam 4.24 pagi apabila mangsa dikejar sebuah lori bonded berwarna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek.

“Mangsa kemudian terjatuh sebelum digilis dan ditinggalkan di tempat kejadian,” katanya di sini.

Abang Zainal Abidin berkata, berdasarkan rakaman video itu, pihak polis telah mengenal pasti pemilik serta pemandu kenderaan yang terlibat.

“Suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan.

“Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala dan dada akibat pelanggaran jalan raya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mahani Mohammed di talian 019-2618221 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!