Lelaki ditahan bantu kes bunuh mak nyah

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Abang Zainal Abidin
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Abang Zainal Abidin
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki berperwatakan wanita di lorong berhampiran Jalan Horley, Kampung Jawa, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, bertindak atas maklumat risikan, suspek berusia 32 tahun itu ditahan sekitar jam 10 malam di Terminal Bas Bersepadu (TBS), Kuala Lumpur.

Menurut beliau, tangkapan suspek dijalankan oleh sepasukan anggota Cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Dipandu arah suspek, pasukan polis kemudian dibawa ke pos pengawal keselamatan di Taman Tawas Idaman, di sini pada jam 2.30 pagi.

“Pemeriksaan di lokasi tersebut membawa kepada rampasan dua batang anak kunci, sebuah lori berwarna putih serta dua telefon bimbit,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Reman terhadap suspek dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang belum dikenal pasti identitinya ditemui seorang pekerja hotel sekitar jam 6 pagi dengan kesan kecederaan serius di kepala dan bahagian belakang badan bersama rambut palsu berwarna perang.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku pada jam 4.24 pagi apabila mangsa dikejar sebuah lori bonded berwarna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek.

Mangsa yang terjatuh telah digilis menggunakan kenderaan itu dan ditinggalkan di lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!