Pesara JPS maut motosikal rempuh lori tayar pecah

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kiri jalan akibat tayar pecah dalam kejadian di Jambatan Sultan Mahmud di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.21 pagi itu, mangsa, Mohd Riduan Saidi, 60, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Tunggal menghala ke pusat bandar.
"Ketika melalui laluan dua lorong sehala di jambatan berkenaan, motosikal mangsa melanggar sebuah lori jenis Hicom yang diparkir di lorong kiri selepas tayar hadapan sebelah kiri kenderaan itu pecah.

"Akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, motosikal dinaiki mangsa rosak di bahagian hadapan manakala lori terbabit mengalami kerosakan pada bahagian belakang sebelah kanan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut manakala pemandu lori berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
