[VIDEO] Simpan daging babi bodoh, suami isteri didenda RM12,000

A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Gara-gara menyimpan daging babi bodoh tanpa permit khas, sepasang suami isteri didenda masing-masing RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Chau Thim Choy, 53 dan Ng Sui Ping, 52, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama telah didapati menyimpan bahagian babi bodoh (Sus Barbatus) yang merupakan hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] tanpa suatu permit khas.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 3.55 petang di sebuah premis dekat Pekan Broga, Mantin pada 20 Ogos 2020.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] yang boleh dihukum di bawah seksyen 68(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Gara-gara menyimpan daging babi bodoh tanpa permit khas, sepasang suami isteri, Thim Choy (belakang) dan Sui Ping (baju biru) didenda masing-masing RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Gara-gara menyimpan daging babi bodoh tanpa permit khas, sepasang suami isteri, Thim Choy (belakang) dan Sui Ping (baju biru) didenda masing-masing RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu.

Jika disabitkan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon memaklumkan, alasan tidak tahu mengenai kesalahan menyimpan haiwan berkenaan adalah tidak boleh diterima.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, spesis babi bodoh hanya boleh disimpan dengan permit sah yang dikeluarkan menteri memandangkan hidupan itu kini diancam kepupusan.

Jelasnya, taburan habitat berkenaan dicatatkan pernah wujud di seluruh semenanjung Malaysia, namun kini hanya boleh didapati di sekitar Johor akibat kemusnahan habitat dan pemburuan tidak terkawal.

Sementara itu, Peguam Low Kin Fai yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan kepada mahkamah, babi berkenaan diperolehi daripada orang asli.

Ujar beliau, anak guamnya tidak dapat membezakan babi bodoh dengan babi hutan kerana ia dalam bentuk bahagian sahaja dan memohon hukuman berbentuk denda sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, tertuduh turut mengaku menyimpan dua ekor Serindit (Loriculus Galgulus) yang merupakan hidupan liar dilindungi tanpa suatu lesen di lokasi dan tarikh sama.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] yang boleh dihukum di bawah seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan terbabit, tertuduh masing-masing didenda RM5,000, jika gagal bayar boleh dipenjara selama dua bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!