Strategi tentukan hala tuju skuad negara di Piala Sudirman

Beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei antara tiga beregu yang membawa cabaran negara di Piala Sudirman 2025. Foto Agensi
Beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei antara tiga beregu yang membawa cabaran negara di Piala Sudirman 2025. Foto Agensi
A
A
A

BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock, menyifatkan bahawa keputusan sama ada Malaysia berjuang untuk muncul juara atau naib juara Kumpulan C dalam kempen Piala Sudirman bergantung kepada perancangan strategi pasukan.

“Saya tidak melihat sebarang masalah besar untuk skuad negara mara ke suku akhir berdasarkan keputusan undian. Secara jujurnya, saya memilih Malaysia untuk muncul sebagai juara kumpulan.

“Namun begitu, kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa untuk bersaing dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Sudirman ini, kita memerlukan pasukan yang benar-benar mantap, walaupun saya yakin setiap pemain akan memberikan komitmen sepenuhnya di dalam gelanggang,” katanya kepada Sukan Sinar.

Tambah Ewe Hock, Malaysia tidak mempunyai kekuatan mencukupi dalam acara perseorangan lelaki dan perseorangan wanita, meskipun kategori beregu lelaki, beregu wanita, serta beregu campuran dilihat lebih kukuh.

Mengulas lanjut, Ewe Hock berkata, Malaysia tidak berdepan masalah besar secara atas kertas untuk menewaskan Perancis dalam perlawanan pembukaan, sekali gus menentukan hala tuju pasukan dalam kejohanan tersebut.

“Perancis mampu memberikan tentangan dalam acara perseorangan dan beregu, namun dalam kategori lain, saya yakin pemain kita mempunyai kelebihan.

“Justeru, pemain-pemain yang memiliki kelebihan perlu memanfaatkan sepenuhnya perlawanan pertama ini.

“Jepun pula merupakan lawan yang seimbang dan menjadi pilihan utama dalam kumpulan ini, manakala untuk Australia, saya percaya kita berupaya untuk mengatasi mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan C dengan menentang Perancis pada Isnin diikuti Australia pada 29 April, dan Jepun pada 1 Mei dengan pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

INFO

SKUAD PIALA SUDIRMAN 2025

PERSEORANGAN LELAKI

Leong Jun Hao

Justin Hoh

PERSEORANGAN WANITA

Goh Jin Wei

K. Letshanaa

BEREGU LELAKI

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani

Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Man Wei Chong-Tee Kai Wun

BEREGU WANITA

Pearly Tan-M Thinaah

Go Pei Kee-Carmen Ting

BEREGU CAMPURAN

Goh Soon Huat-Shevon Lai

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!