Program Malaysia #QuranHour di sekolah lahir generasi celik al-Quran

SEREMBAN - Penglibatan pelajar sekolah dalam program Malaysia #QuranHour yang diadakan setiap tahun diharap dapat melahirkan generasi celik al-Quran.
Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, mereka perlu dididik sejak kecil untuk mendekati al-Quran dan program seumpama itu adalah salah satu platform yang terbaik.
Menurutnya, pemilihan surah-surah tertentu setiap kali penganjurannya dapat membawa pelajar untuk lebih menghayati makna ayat-ayat al-Quran.
"Mesej daripada tiga surah utama iaitu Surah al-Saff, al-Balad dan Ali Imran yang dipilih kali ini memberi kerangka nilai dan tindakan berpaksikan konsep Ahassa iaitu empati mendalam yang menggerakkan tindakan dengan disiplin, kesedaran dan iltizam untuk membina sebuah ummah yang kukuh, terpimpin dan berteraskan kepada Allah sebagai pusat perjuangan.

"Pemilihan tema 'Merdeka Dengan Rasa' pula mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan jiwa,"katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu beliau hadir memeriahkan pelancaran program Malaysia #QuranHour peringkat sekolah yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Taman Warisan Puteri di sini.
Pada program berkenaan, lebih 600 murid dan guru yang terlibat.
Sementara itu, Masjid Al-Amin Bandar Warisan Puteri di daerah ini menjadi lokasi utama penganjuran program terbabit yang diadakan pada Sabtu dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 orang.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, ia turut melibatkan penyertaan jabatan kerajaan, pelajar dan komuniti setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

