Melaka beri pengecualian sewa kepada pengusaha kantin: KM

sulaiman
sulaiman
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan memberikan pengecualian sewa premis kepada pengusaha kantin sekolah bagi bulan Mac dan April untuk mengurangkan beban mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan hingga 31 Mac ini.

Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, pengecualian sewa itu perlu dimohon melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan ia akan diuruskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad.

"Kita terima aduan daripada wakil pengusaha kantin di negeri ini tentang pendapatan mereka yang terjejas ekoran penutupan sekolah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan kita bersetuju memberikan pengecualian sewa kepada mereka.

"Kita berharap pengecualian sewa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung pengusaha kantin sekolah di negeri ini," katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, pemberian insentif atau bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil serta gaji awal kepada penjawat awam kerajaan negeri juga sedang dipertimbangkan dan ia bergantung kepada kewangan semasa kerajaan negeri.

Sementara itu, Sulaiman berkata, 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka diminta menjalani saringan kesihatan Covid-19 bagi memastikan kesemua mereka bebas daripada simptom wabak tersebut.

Beliau berkata saringan itu penting berikutan barisan Exco kerajaan negeri merupakan tulang belakang dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan lancar.

"Saringan Covid-19 ini akan dilakukan di Seri Negeri secepat mungkin oleh Jabatan Kesihatan Negeri bagi menjamin kesihatan semua Exco," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya masih terus berusaha memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin.

"Berdasarkan rekod, paras air semasa di Empangan Durian Tunggal hanya mencatatkan 14.6 peratus iaitu 4,520 juta liter, diikuti Empangan Jus 22.6 peratus iaitu 987 juta liter, manakala Empangan Asahan 63.9 peratus iaitu 445 juta liter," katanya.

Melaka mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin.