L’Oréal Malaysia rai 30 tahun operasi, miliki 6.7 juta pengguna tempatan

JENAMA produk kecantikan terkenal, L’Oréal Malaysia yang memasuki tiga dekad pengoperasiannya kini memiliki 6.7 juta pengguna semasa serta menyediakan sekitar 21,609 pekerjaan di seluruh negara.
Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia dan Singapura, Tomas Hruska berkata, pencapaian itu didorong permintaan tinggi pengguna tempatan merentasi 30 portfolio produk yang dipasarkan di 47,508 gedung runcit, 1,300 salun, 2,399 farmasi serta lapan platform e-dagang, selain memiliki pusat pengedaran strategik di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, industri kecantikan global bernilai €290 bilion merupakan salah satu sektor paling dinamik di dunia, manakala di Malaysia sahaja pasaran dianggarkan berjumlah RM13.6 bilion dengan peluang besar dalam inovasi, pekerjaan dan penciptaan nilai.
“Perancangan L'Oréal kini memfokuskan kemajuan sosial melalui pelaburan dalam pembangunan bakat dan pemerkasaan komuniti tempatan.
“Pada 2023, lebih 1,600 individu mendapat manfaat melalui pelbagai program termasuk ‘Beauty for a Better Life’ oleh Yayasan L'Oréal, latihan vokasional untuk wanita berpendapatan rendah, dana amanah L'Oréal-UNESCO For Women in Science bagi saintis wanita, serta ‘Hair Access’ sebagai pusat pembelajaran untuk salon profesional.
“Kami juga bekerjasama dengan pembekal yang menggaji individu daripada golongan rentan. Dengan tenaga kerja yang mencerminkan nilai kepelbagaian Malaysia, L'Oréal bukan sahaja merangsang kreativiti dan inovasi dalam syarikat malah menyumbang kepada ekonomi inklusif serta pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ulang Tahun L’Oréal Malaysia bertemakan Meraikan Tiga Dekad Kuasa Transformasi Kecantikan di Malaysia yang berlangsung di Hotel St Regis, Kuala Lumpur pada Isnin.
Turut hadir ialah kerabat Diraja Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Duta Besar Perancis ke Malaysia, Alex Cruau; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; serta Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Pada majlis sama, Hruska turut melancarkan Laporan Impak Sosioekonomi berdasarkan kajian global oleh pasukan penyelidik ekonomi Asterès. Data terkumpul digunakan dalam Model Impak Asterès (MIA) bagi menilai kesan ekonomi L’Oréal di Malaysia pada 2023.
“Setiap satu pekerjaan di L'Oréal Malaysia menjana 36.6 lagi pekerjaan lain, menyokong 21,609 pekerjaan di seluruh negara.
“Selain itu, lebih 500 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia turut diintegrasikan dalam rantaian bekalan L'Oréal,” ujarnya.
Sementara itu, Sikh Shamsul Ibrahim mengucapkan tahniah atas kejayaan tiga dekad syarikat tersebut yang dilihat sebagai pencapaian penting industri kecantikan negara.
Katanya, 30 portfolio produk di bawah jenama L'Oréal antaranya Armani, Maybelline, Garnier, Yves Saint Laurent, Shu Uemura, Lancôme, Kiehl's, La Roche-Posay, dan Kérastase menjadi pilihan utama pelanggan sejak syarikat itu mula beroperasi pada 1995.
“Kejayaan L'Oréal bukan hanya kisah korporat, tetapi turut mencerminkan hubungan dua hala positif antara Perancis dan Malaysia.
“Ketika kita meraikan momen membanggakan ini, banyak lagi yang syarikat ini bakal lakukan termasuk inisiatif kelestarian dan kemampanan.
“MIDA sentiasa komited untuk bekerjasama dengan L'Oréal dan syarikat global lain yang ingin membuat pelaburan jangka panjang di Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

