CAP kecam serangan ke atas anak Rafizi

Mohideen.
Mohideen.
A
A
A

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya baru-baru ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, serangan itu yang turut disusuli ugutan kepada keluarga Mohd Rafizi adalah satu perbuatan pengecut, jijik dan tidak berakhlak.

“Perbuatan ini menunjukkan pihak terlibat gagal atau enggan berdepan dengan individu yang disasarkan melalui saluran sah seperti mahkamah atau pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, laporan mendakwa insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan tugas Mohd Rafizi yang mendedahkan pelbagai skandal politik serta isu lain berdasarkan maklumat daripada pembocor rahsia.

“CAP mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh dan memastikan dalang yang bertanggungjawab segera ditangkap serta dihukum mengikut undang-undang.

“Polis mesti mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan awam. Jika perkara ini boleh berlaku kepada seorang bekas menteri, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Mohd Rafizi pada Rabu memaklumkan, anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi kejadian sebelum kanak-kanak berusia 12 tahun itu tiba-tiba ditarik serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki motosikal mengekori kereta isterinya. Kedua-dua suspek berpakaian serba hitam dan bertopi keledar penuh, dipercayai menunggu sebelum melakukan serangan.

Siasatan kes serangan itu kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, selaras dengan keperluan siasatan yang lebih menyeluruh dan berpusat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!