Ketua Polis Negeri Sembilan baharu fokus aspek integriti, kerjasama agensi

Alzafny
Alzafny
A
A
A

SEREMBAN – Ketua Polis Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Alzafny Ahmad akan memberikan penumpuan kepada aspek integriti anggota dan pegawai di bawah kepimpinannya, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi dan masyarakat.

Beliau berkata, amanah yang dipikul sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan ke-53 bukan sesuatu yang mudah namun akan dilaksanakan sebaik mungkin bersama pasukan sedia ada.

“Ketua Polis Negeri Sembilan sebelum ini, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof telah meninggalkan satu legasi kepimpinan yang sangat cemerlang di Negeri Sembilan dan menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan kecemerlangan ini.

“Saya tidak bersendirian dalam tugasan ini, kita ada satu pasukan yang kuat dan saya yakin dengan semangat kerjasama ini. Kita mampu memastikan landasan kita sentiasa dipacu dan dipandu dengan betul serta tepat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, pada Isnin.

Serah tugas Ketua Polis Negeri Sembilan antara Ahmad Dzaffir (kiri) kepada Alzafny disaksikan Rusdi.
Serah tugas Ketua Polis Negeri Sembilan antara Ahmad Dzaffir (kiri) kepada Alzafny disaksikan Rusdi.

Majlis itu disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Alzafny sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan kini menggantikan Ahmad Dzaffir sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan selepas beliau ditukar ke Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran).

Alzafny berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menitikberatkan tanggungjawab sebagai penguat kuasa undang-undang dan pada masa sama mendekati masyarakat demi memastikan keamanan negeri terus terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menggariskan keperluan mendengar dan menyelesaikan isu masyarakat secara proaktif serta memastikan misi dan hala tuju pasukan seiring dengan dasar kerajaan dan keperluan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Alzafny menekankan kepentingan mempertingkatkan keberkesanan operasi pasukan melalui penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) selaras dengan visi Ketua Polis Negara.

Beliau juga berharap agar tahap profesionalisme pegawai dan anggota terus diperkasa bagi memenuhi ekspektasi masyarakat serta menjunjung integriti dalam setiap tindakan.

“Integriti adalah tunjang utama dalam tugas. Ia penting untuk mengelakkan salah tanggapan daripada masyarakat dan memastikan kepercayaan awam terus kekal kepada PDRM.

“Selain itu, aspek kebajikan pegawai dan anggota turut menjadi antara keutamaan, terutama melibatkan isu peribadi dan kewangan yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!