Perak beri subsidi air RM39 juta setahun

Sultan Nazrin menyempurnakan gimik perasmian Menara Air Perak di Basco Avenue @ Kepayang pada Isnin.
Sultan Nazrin menyempurnakan gimik perasmian Menara Air Perak di Basco Avenue @ Kepayang pada Isnin.
A
A
A

IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui Lembaga Air Perak (LAP) memberikan subsidi serta rebat air sebanyak RM39 juta setahun kepada rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah tersebut melambangkan tekad LAP untuk memastikan keseimbangan antara kelestarian kewangan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, meskipun beberapa negeri melaksanakan pelarasan tarif air, Perak mengekalkan kadar tarif air yang ditetapkan sejak Mei 2024 dengan mengambil kira kemampuan rakyat serta keupayaan kewangan LAP.

“Hampir RM39 juta setahun dikembalikan kepada rakyat melalui subsidi dan rebat termasuk 25 meter padu percuma untuk golongan miskin, 10 meter padu percuma untuk rumah ibadat dan institusi kebajikan serta rebat RM4 bagi 10 meter padu pertama setiap bulan untuk semua pengguna domestik.

“Angka ini melambangkan tekad LAP untuk memastikan keseimbangan antara kelestarian kewangan dan kesejahteraan, suatu amanah yang sentiasa dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Menara Air Perak di Basco Avenue @ Kepayang di sini, pada Isnin.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Saarani berkata, selama lebih tiga dekad, LAP berdiri sebagai nadi pembangunan negeri, menyalurkan bekalan air bersih dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, LAP terus mendukung aspirasi pembangunan negeri secara menyeluruh seiring dengan pelan Perak Sejahtera 2030 dan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040.

Artikel Berkaitan:

“Antara projek utama ialah Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) di Lekir dan Automotive High Technology Valley (AHTV) di Tanjong Malim.

“Bagi menyokong keperluan tersebut, LAP sedang menaik taraf beberapa Loji Rawatan Air seperti di Teluk Kepayang, Kampung Gajah dan Sungai Geliting,” katanya.

Selain itu, Saarani berkata, kejayaan LAP turut dizahirkan melalui rekod sebagai pembayar zakat korporat tertinggi di negeri Perak dengan jumlah terkumpul melebihi RM86 juta sejak tahun 2007 serta penerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2023.

Mengenai Menara Air Perak, beliau berkata pembinaannya bermula pada Mac 2016 dengan kos keseluruhan RM92 juta dan mula beroperasi sepenuhnya pada 6 Mac 2023.

Terletak di Basco Avenue @ Kepayang, bangunan setinggi 14 tingkat itu menampilkan konsep moden, efisien tenaga dan pelbagai kemudahan termasuk taska, surau, gimnasium, pejabat serta dewan bankuet berkapasiti 320 orang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!