Penganjur Himpunan RXZ nafi dakwaan tiada bantuan kerajaan negeri

Laporan Sinar Harian pada 24 Ogos lalu berhubung kejayaan penganjuran Himpunan RXZ Members 7.0 di Kuala Terengganu.
Laporan Sinar Harian pada 24 Ogos lalu berhubung kejayaan penganjuran Himpunan RXZ Members 7.0 di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penganjur RXZ Members 7.0 menepis beberapa hantaran tular yang mendakwa kerajaan Terengganu tidak memberikan sebarang bantuan terhadap penganjuran acara permotoran terbesar itu.

Menurut kenyataan rasmi penganjur, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan setiap kali penganjuran program berkenaan.

“Sokongan kerajaan negeri tetap ada sama ada melalui kewangan, kemudahan, khidmat nasihat mahupun kerjasama secara tidak langsung dan amat kami hargai.

“Tanpa bantuan ini, RXZ Members tidak mungkin mencapai tahap sekarang,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi pada malam Selasa.

Acara yang menghimpunkan kira-kira 150,000 pengunjung itu turut menerima perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengumumkan peruntukan berjumlah RM300,000 baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut menegaskan program tersebut bersifat santai untuk mengumpulkan peminat motosikal dan bukannya menjadi platform politik.

“RXZ Members 7.0 adalah program santai, tumpuan orang ramai terutama warga Terengganu dan rakyat Malaysia secara amnya berkumpul, berukhuwah dan mengeratkan hubungan.

“Ia bukan medan politik, tetapi ruang untuk kita sama-sama meraikan minat dan hobi dengan penuh harmoni,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, pihak penganjur turut merakam penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus memberi sokongan sejak edisi pertama penganjuran acara itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami pihak penganjur amat menghargai sokongan rakyat Terengganu yang sentiasa bersama RXZ Members sejak edisi pertama hingga kini.

“Doa dan semangat kalian menjadi kekuatan kami untuk menjayakan acara ini dari tahun ke tahun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!