MARDI perkenal varieti padi baharu MR 333 tangani cabaran iklim

KEPALA BATAS – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti padi baharu, MR 333, yang berpotensi memberi hasil tinggi antara lima hingga sembilan tan sehektar serta tahan terhadap penyakit karah.
Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail berkata, keupayaan varieti baharu itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan petani kepada penggunaan racun kimia, malah menjimatkan kos serta memberi manfaat kepada alam sekitar.
Menurutnya, MR 333 yang diberi nama Menora itu juga sesuai ditanam di kebanyakan kawasan jelapang padi seluruh negara.
“Sehingga kini, dengan pengisytiharan varieti MR CL3 dan CL4 pada Julai lalu, MARDI secara keseluruhan telah menghasilkan 58 varieti padi, yang mana lebih 95 peratus kawasan jelapang padi utama ditanam dengan varieti yang dihasilkan oleh institut berkenaan.
“Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pengeluaran Padi Malaysia 2022/2023 oleh Jabatan Pertanian, penggunaan varieti tertinggi pada musim utama adalah MARDI Siraj 297 atau lebih dikenali dengan MR 297, diikuti MR220 CL2 dan MR 269,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI, MR 333 di Kampung Lahar Minyak di sini, pada Isnin.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tambah Azman, MR 333 diperkenalkan sebagai alternatif kepada varieti popular MR 297 selain MR 315, MR 303 dan MR 307.
“Varieti ini bukan sahaja memberi pilihan lebih luas kepada pesawah, malah menawarkan hasil kompetitif sehingga sembilan tan sehektar sekali gus berpotensi meningkatkan pendapatan petani.
“Selain itu, kajian MARDI mendapati ketahanan MR 333 terhadap penyakit karah membantu mengurangkan keperluan penggunaan racun kimia yang bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberi manfaat kepada alam sekitar,” ujarnya.
Azman menambah, MR 333 mempunyai tahap kematangan antara 103 hingga 108 hari serta ketinggian pokok sekitar 99.8 sentimeter, hampir setara dengan MR 297 yang memberi kelebihan terhadap masalah rebah.
“Berat 1,000 biji benihnya juga lebih tinggi iaitu 30.9 gram, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil.
“Varieti ini ditanam menggunakan kaedah mencedung dengan mesin jentanam bagi memastikan keberkesanan dan hasil optimum,” katanya.

Menurutnya, di Pulau Pinang, keluasan sawah padi berjumlah 12,105 hektar dengan pengeluaran sebanyak 59,109 tan pada musim luar 2023.
“Produktiviti di negeri ini dilihat stabil dengan julat purata hasil antara 4.88 hingga 5.26 tan sehektar bagi tempoh musim utama 2021/2022 hingga musim luar 2023.
“Namun, perubahan iklim khususnya peningkatan suhu dijangka memberi kesan besar kepada industri padi, termasuk penurunan hasil, perubahan genetik tanaman dan peningkatan ancaman perosak serta penyakit.
“Dengan adanya varieti MR 333, MARDI optimis ia mampu meningkatkan produktiviti padi negara, memperkukuh daya saing pengeluaran tempatan dan menjadi langkah proaktif dalam menghadapi cabaran iklim serta serangan penyakit tanaman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

