Pengusaha cenderung jaga kanak-kanak usia lebih setahun

Pengusaha taska berdepan tekanan besar untuk terus beroperasi walaupun ketika ini jumlah taska berdaftar di Terengganu masih stabil - Gambar hiasan, gambar kecil: Ummi Rahimah
Pengusaha taska berdepan tekanan besar untuk terus beroperasi walaupun ketika ini jumlah taska berdaftar di Terengganu masih stabil - Gambar hiasan, gambar kecil: Ummi Rahimah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kos gaji minimum pekerja RM1,700 antara punca terdapat taska swasta di negeri ini tidak menerima bayi berusia tiga bulan hingga setahun.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hassan berkata, dengan yuran bayi sekitar RM500 seorang, jumlah bayaran untuk tiga orang bayi hanya mencecah RM1,500 sedangkan pengusaha perlu membayar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada seorang pengasuh.

“Situasi ini menyebabkan pengusaha terpaksa menampung kekurangan kos daripada poket sendiri selain berdepan kenaikan harga barang basah dan kering.

“Disebabkan itu ramai pengusaha lebih cenderung menerima kanak-kanak berusia lebih setahun kerana nisbah jagaan yang lebih tinggi dan mampu menampung kos gaji kakitangan,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha taska berdepan tekanan besar untuk terus beroperasi walaupun ketika ini jumlah taska berdaftar di Terengganu masih stabil dengan rekod taska berdaftar sebanyak 135 buah seluruh negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat menyalurkan geran khas bagi membantu taska swasta menambah baik fasiliti dan meneruskan operasi tanpa terbeban dengan isu kos.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!