Denda hingga RM1 juta jika syarikat komunikasi tidak patuh kualiti perkhidmatan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan audit kualiti secara berkala di seluruh negara bagi memastikan pematuhan berterusan oleh pemberi perkhidmatan komunikasi terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 53 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sekiranya gagal mematuhi arahan tersebut.
"Selain itu, kegagalan mematuhi kualiti perkhidmatan juga boleh dikenakan penalti kewangan hingga RM500,000 selaras dengan subseksyen 105(5) Akta 588.
"Lokasi-lokasi audit dikenal pasti melalui sumber aduan dan data pengujian orang awam yang merekodkan banyak keputusan di bawah piawaian MSQoS," katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu Nie Ching memaklumkan, sebanyak 2,781 ujian kualiti telah dijalankan di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 31 Julai lalu.
Daripada jumlah tersebut menurutnya, 1,684 ketidakpatuhan MSQoS dikesan melibatkan 815 lokasi keseluruhan.
"Pemberi perkhidmatan telah berjaya membuat penambahbaikan pada 462 ketidakpatuhan sehingga patuh terhadap standard mandatori.
"Baki 1,222 ketidakpatuhan masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya kerana melibatkan naiktaraf menara sedia ada atau pembinaan menara baharu yang mengambil masa lebih lama.
"Orang awam juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan lokasi yang mengalami masalah kualiti perkhidmatan melalui aplikasi MCMC NEXUS," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
