Asyraf Wajdi saman Papagomo RM1 juta

Asyraf Wajdi, Wan Muhammad Azri
Asyraf Wajdi, Wan Muhammad Azri
A
A
A

SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, dengan menyaman beliau sebanyak RM1 juta berhubung dakwaan fitnah kononnya beliau menyalahgunakan dana MARA.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada satu sen pun daripada wang MARA digunakan bagi tujuan ibadah korban.

Sebaliknya, jelas beliau, ramai pihak tampil menyumbang untuk tujuan sedekah kepada penduduk Gerik dan salah satu lembu korban merupakan sumbangan peribadi beliau kepada MARA daerah yang sama.

"Bukan dia yang bagi duit, kita pula yang bagi lembu untuk diagihkan kepada staf-staf MARA Gerik dan juga Perak.

"Ya ALLAH, tidak takut dosa ke? Takkanlah saya guna duit MARA untuk beli lembu korban.

"Ini sudah melampau, Papagomo. Jumpa di mahkamah. Saya akan saman RM1 juta. Ini fitnah yang merosakkan imej saya dan imej MARA. Jumpa di mahkamah," katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Ahad.

Terdahulu, Asyraf Wajdi turut berkongsi sedutan video Papagomo yang mempersoalkan tender berkaitan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang didakwa diperoleh pihak tertentu.

Selain itu, Papagomo juga membangkitkan persoalan berhubung sumber kewangan yang digunakan bagi melaksanakan ibadah korban melibatkan 40 ekor lembu.

Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang urusan tender MARA sepanjang memegang jawatan di agensi itu.

Artikel Berkaitan:

“Sudah banyak dia buat fitnah. Sejak bila saya ambil tender-tender makan ini? Saya rasa seluruh Malaysia tahu saya asyik turun padang ke MRSM dan semua institusi pendidikan MARA.

“Salah satunya, untuk memecahkan kartel-kartel yang sedia ada dan saya bertanggungjawab memastikan segala bentuk projek mesti diagihkan mengikut prinsip tadbir urus yang betul,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang mesyuarat berkaitan tender projek.

"Namun, saya dan Ahli Majlis MARA sentiasa memastikan bahawa tatakelola mesti betul. Tidak mungkin kita boleh memberi sewenang-wenangnya kepada sesiapa, apatah lagi mengkhianati amanah rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!