Bekas guru bangkit bina empayar emas

CHANGLUN – “Rumah dilelong, kereta ditarik, bekalan air dan elektrik dipotong. Kami sekeluarga terpaksa berhimpit dalam kereta pinjam untuk mencari rezeki.”
Itulah detik paling getir pernah dilalui Elee Salmi Ishak, 49, sebelum bangkit sebagai pengasas Empayar Emas YL setelah melalui kegagalan dalam perniagaan dan kemiskinan yang hampir meragut segala-galanya.
Bermula sebagai guru akaun selama empat tahun, Elee Salmi nekad meninggalkan kerjaya demi mengejar impian berniaga.

Namun, kemewahan yang diraih melalui perniagaan berangkai ketika itu membuatkan dia alpa dan akhirnya jatuh tersungkur pada 2016.
“Tiada simpanan, tiada harta. Anak-anak masih bersekolah tapi kami hilang tempat berteduh,” katanya kepada Sinar Harian di Changlun.
Dalam usaha bangkit semula, Elee Salmi dan suami, Mohd Yusop Deraoh, 55, pernah bekerja mencuci rumah orang demi untuk sesuap nasi.
Mereka membawa tiga anak bersama, berhimpit dalam kereta Perodua Viva yang dipinjam, lengkap dengan tangga dan peralatan mencuci.
“Saya hubungi semula rakan-rakan guru untuk tawarkan khidmat cuci rumah tapi ramai menjauhkan diri, mungkin takut saya minta bantuan kewangan,” ujarnya.
Tidak hanya bergantung kepada kerja mencuci, Elee Salmi turut menjual nasi lemak secara sampingan sehingga berjaya menjual 700 bungkus sehari.
“Usaha tersebut mula dapat sambutan dan sedikit demi sedikit ia menguatkan semangat saya untuk bangkit selepas mendapat kembali keyakinan.
“Segalanya berubah apabila seorang rakan memperkenalkan platform perniagaan emas dan bermula dengan hanya lapan ejen, saya tekad serius dalam bidang tersebut walaupun masih meneruskan kerja mencuci rumah,” katanya.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020, perniagaan cuci rumah terhenti, namun jualan emas secara dalam talian melalui Facebook melonjak luar biasa.
“Saya buat siaran langsung, kongsi ilmu dan cerita pengalaman. Sambutan sangat luar biasa. Ramai mula percaya dan sertai saya,” katanya.

Bagaimanapun, ketika membina empayar emas, dia tidak terlepas dengan dugaan kerana pernah ditipu rakan perniagaan sebanyak RM200,000 pada 2020.
Namun kini Empayar Emas YL yang diasaskan mempunyai lebih 3,000 ejen di seluruh negara, malah tiga anaknya turut menyertai perniagaan keluarga, dengan membantu menguruskan beberapa cawangan seperti di Pulau Pinang dan Perak.
Menurutnya, anak sulung, Muhamad Nur Aiman, 26, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, manakala anak kedua, Nurul Izyani, 25, sebagai Ketua Eksekutif Jualan dan anak bongsu, Muhamad Nur Afif, 18, sebagai pegawai operasi, sementara suaminya pula sebagai tukang emas.
“Alhamdulillah, kami bukan sahaja bangkit, malah dapat bantu ramai orang susah melalui simpanan emas.
“Ramai ejen kami berjaya beli rumah, lunas hutang dan tampung kos rawatan tanpa berhutang.
“Selain cawangan di Pulau Pinang dan Perak, kami akan buka cawangan di Shah Alam, Selangor pada penghujung tahun, manakala di Terengganu dan Sarawak pada tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Elee Salmi turut menggalakkan suri rumah dan belia agar mula menabung dengan membeli dirham emas sebagai pelaburan masa depan.
“Saya pernah hidup susah sejak kecil, bantu mak bungkus kuih jam 4.30 pagi, jual nasi lemak di Pantai Cenang.
“Walaupun hanya ada satu buku rujukan, alhamdulillah saya tetap berjaya jadi pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Semua itu ajar saya erti usaha dan sabar,” katanya.
Elee Salmi yang juga graduan dari Universiti Teknologi Mara dan Universiti Utara Malaysia, pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok sebelum bersara awal pada 2008 kerana mahu memberi tumpuan penuh dalam dunia perniagaan.
“Saya harap kejayaan dikecapi ini menjadi inspirasi kepada wanita dan belia yang ingin bangkit daripada kesusahan.
“Saya percaya selagi kita jujur, berusaha dan tidak malu untuk bermula dari bawah, ALLAH SWT akan buka jalan.
“Saya lalui semuanya dengan air mata tapi hari ini saya mahu bantu orang lain pula,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

