Remaja memandu tanpa lesen: Siapa harus dipersalahkan?

ISU pemandu bawah umur tanpa lesen bukan lagi sekadar kes terpencil tetapi telah menjadi satu gejala sosial yang mencerminkan kelemahan dalam sistem kawalan, pendidikan dan kesedaran masyarakat.
Apabila remaja yang belum mencapai umur sah dibenarkan memandu sama ada secara sembunyi atau dengan pengetahuan penjaga, nyawa dipertaruhkan bukan sahaja kepada mereka tetapi orang ramai.
Ini kerana remaja yang belum cukup umur tidak memiliki kemahiran mengendalikan kenderaan dan pengetahuan undang-undang untuk memastikan cara pemanduan mereka di jalan raya lebih selamat.
Pada Sabtu, pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Suleiman Shah di sini dipercayai remaja lelaki berusia 16 tahun itu.
Remaja berkenaan didakwa gagal mengawal kenderaan dipandunya.
Semakan juga mendapati remaja terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Namun begitu, kesalahan ini tidak boleh dipikul oleh remaja semata-mata, ia mencerminkan satu kegagalan yang lebih besar iaitu kelalaian ibu bapa, longgarnya penguatkuasaan pihak berkuasa dan lemahnya pendidikan awal mengenai tanggungjawab sivik.
Dalam banyak keadaan, remaja memperoleh akses kepada kenderaan kerana kelonggaran di rumah sendiri.
Malah ada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka memandu atas alasan keperluan harian atau latihan awal, walaupun mereka sedar ia menyalahi undang-undang.
Selain itu, kelemahan dari sudut penguatkuasaan juga menjadi faktor penyumbang.
Kawasan luar bandar atau pinggir bandar misalnya, sering kali terlepas daripada pemantauan yang konsisten.
Tiada sekatan jalan atau rondaan secara berkala, pemandu bawah umur bebas memandu tanpa sebarang halangan.
Pendidikan pula memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan kesedaran generasi muda namun, topik berkaitan keselamatan jalan raya dan tanggungjawab warganegara masih belum diberi penekanan serius di peringkat sekolah.
Kurangnya pendedahan awal menjadikan remaja lebih mudah mengikut pengaruh rakan sebaya berbanding prinsip undang-undang.
Kesimpulannya menangani isu pemandu bawah umur tidak boleh diserahkan kepada satu pihak sahaja.
Oleh itu, semua pihak perlu memainkan perananagar generasi akan datang jelas mengenai undang-undang negara.
Setiap nyawa di jalan raya adalah berharga dan jangan biarkan pengguna jalan raya berisiko disebabkan sikap sambil lewa ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

