Masjid Al-Sultan Ismail Petra lokasi utama Malaysia #QuranHour di Kelantan

Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di Kota Bharu yang akan jadi lokasi Malaysia #QuranHour peringkat negeri Kelantan. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Hafizi, Zaharah
Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di Kota Bharu yang akan jadi lokasi Malaysia #QuranHour peringkat negeri Kelantan. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Hafizi, Zaharah
A
A
A

KOTA BHARU – Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini sekali lagi dipilih sebagai lokasi utama Malaysia #QuranHour 2025 peringkat negeri Kelantan yang dijadual berlangsung pada 30 Ogos ini.

Pegawai Hal Ehwal Islam juga Imam Tua masjid berkenaan, Muhammad Hafizi Ramli berkata, pemilihan kali kedua itu memberi penghormatan besar kepada pihak masjid yang mempunyai kapasiti besar dan fasiliti lengkap untuk menerima ribuan peserta.

“Dewan bawah mampu menampung 3,000 peserta manakala tingkat atas sekitar 2,000 orang, selainnya kemudahan parkir tersedia untuk lebih 200 kenderaan dan ruang tambahan di kawasan luar bagi memastikan keselesaan pengunjung.

“Kami amat teruja kerana program mega seperti ini dapat diadakan dalam keadaan selesa dan kondusif, insya-ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian dalam rangka promosi Malaysia #QuranHour di sini.

Beliau berkata, program bacaan dan tadabbur al-Quran itu akan bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang, sebelum tamat bagi memberi laluan kepada solat Zuhur berjemaah.

Katanya, penyertaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dengan susun atur jemaah lelaki di sebelah kanan manakala perempuan di kiri.

“Kami mahu melihat Malaysia #QuranHour kali ini turut dipenuhi anak muda, bukan hanya warga pencen.

“Fenomena dahaga jiwa yang berlaku dalam masyarakat perlu diseimbangkan dengan program yang mendidik jiwa berasaskan al-Quran dan program ini sudah tersedia, masyarakat hanya perlu hadir bersama-sama menjayakannya,” katanya.

Muhammad Hafizi berkata, masjid berkenaan aktif dengan pengajian rutin seperti talaqi al-Quran selepas Subuh pada Ahad hingga Khamis, manakala kuliah Subuh diadakan pada Jumaat dan Sabtu, menjadikannya lokasi yang sesuai untuk penganjuran program berskala besar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengarah program, Zaharah Che Isa berkata, kira-kira 1,000 peserta dijangka menyertai Malaysia #QuranHour di Kelantan.

Katanya, program tahunan ini turut menyasarkan pembinaan jati diri melalui pengisian al-Quran, dalam usaha membebaskan masyarakat daripada belenggu amarah, dendam dan sifat negatif yang mencengkam jiwa.

“Insya-ALLAH pada hari tersebut semua peringkat umur dijemput untuk hadir beramai-ramai untuk sama-sama berinteraksi dengan al-Quran.

“Peluang ini harus direbut kerana ia bukan sahaja satu penyucian jiwa tetapi pada masa yang sama mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, tahun ini tumpuan kepada Surah al-Saff, selaras dengan usaha membentuk generasi berprinsip dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Ujarnya, Surah al-Saff dipilih untuk memperkukuhkan nilai perpaduan, disiplin dan keteguhan dalam perjuangan menentang kehancuran akhlak dan nafsu.

Zaharah memberitahu, orang ramai dijemput untuk sama-sama menjayakannya tanpa mengira peringkat umur.

“Kami menunggu kehadiran anda pada 30 Ogos ini bermula jam 8 pagi hingga 1 petang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!