Pesona akrobatik Chingay Hafiz

GEORGE TOWN - Minat mendalam terhadap seni dan akrobatik Chingay membuatkan Hafiz Shapie, 31, tekad meneruskan latihan biarpun pernah berdepan pelbagai kecederaan pada dahi dan patah gigi.
Anggota perubatan pertahanan awam itu mula berjinak dengan Chingay sejak berusia lapan tahun apabila sering mengikuti arwah bapa saudaranya bersama abang, Shahril Fizat ke sesi latihan sekitar awal tahun 2000.
Beliau bersama abangnya pernah muncul juara Pertandingan Chingay Pulau Pinang pada 2018.
Namun kini, Shahril menetap di Kuala Lumpur dan tidak lagi aktif kerana kekangan kerja.

“Ketika itu saya rasa ia menyeronokkan dan pada masa yang sama amat mencabar,” katanya yang kini sudah 23 tahun berkecimpung dalam seni tersebut.
Hafiz yang mempunyai dua orang anak kini sudah menguasai kemahiran akrobatik yang lebih berbahaya termasuk menangkap tiang buluh menggunakan mulut sambil berdiri di atas kaki kayu, bangku atau tangga.
Katanya, walaupun kecederaan sering dialaminya, ia tidak pernah mematahkan semangat untuk terus mendalami seni akrobatik berkenaan.
“Di Pulau Pinang, Chingay melibatkan aksi melontar bendera gergasi yang perlu ditangkap oleh penggiat lain menggunakan dahi atau mulut dengan tahap kesukaran berbeza-beza.
“Sebab itu, kecederaan dahi dan gigi itu sudah biasa. Tetapi itu tidak pernah memadamkan minat saya dalam bidang ini,” ujarnya.
Menurut Hafiz, seni itu menuntut disiplin tinggi, ketangkasan serta latihan berterusan untuk mengekalkan stamina.

“Saya kini mengetuai pasukan Chingay Sungai Pinang dengan keahlian kira-kita 20 penggiat Melayu dan 10 penggiat India. Bagaimanapun, kebanyakan mereka hanya mampu mengimbangi bendera gergasi tanpa melakukan aksi akrobatik.
“Ia bukan kemahiran mudah kerana memerlukan latihan berterusan tetapi agak mencabar untuk kami berkumpul kerana kekangan jadual kerja masing-masing,” kongsinya.
Tambahnya, Chingay wajar diiktiraf sebagai sukan budaya sama seperti wushu kerana menuntut kekuatan, ketangkasan dan kesabaran.
“Walaupun kita tahu ia bermula sebagai persembahan keagamaan suatu ketika dahulu namun kini ia sudah menjadi satu bentuk sukan dan persembahan akrobatik yang merentas bangsa serta agama,” jelasnya.
Hafiz yang pernah menyertai pasukan Chingay Pulau Pinang ke Pertunjukan Chingay Ekstravaganza di Singapura sempena Tahun Baharu Cina berkata, seni berkenaan telah menjadikannya lebih cergas dan kuat.
“Harapan saya adalah untuk menyertai lebih banyak persembahan Chingay di peringkat antarabangsa bagi mempersembahkan kemahiran akrobatik kami,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

